22. Mula-mula imam menyembelih lembu jantan, kemudian domba jantan, lalu anak domba. Mereka memercikkan darah tiap-tiap korban itu di atas mazbah.
23. Akhirnya mereka membawa kambing jantan kepada raja dan rakyat, lalu mereka meletakkan tangan di atas binatang itu.
24. Selepas itu, imam-imam menyembelih kambing-kambing itu lalu menuang darah kambing di atas mazbah, untuk menghapuskan dosa segenap rakyat, kerana raja telah memerintah mereka mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk mengampunkan dosa segenap rakyat Israel.
25. Raja Hizkia mengikut perintah yang diberikan TUHAN kepada Raja Daud melalui Gad, nabi yang berkhidmat kepada Raja Daud, dan melalui Nabi Natan. Raja Hizkia menempatkan orang Lewi di dalam Rumah TUHAN untuk memainkan kecapi dan simbal,
26. alat-alat muzik seperti yang digunakan Raja Daud dahulu. Imam-imam juga berdiri di situ dengan trompet.
27. Raja Hizkia memerintahkan supaya korban untuk menyenangkan hati TUHAN dipersembahkan. Sementara korban dipersembahkan, rakyat menyanyikan lagu pujian kepada TUHAN, dan para pemuzik pun mula meniup trompet dan memainkan semua alat muzik yang lain.
28. Tiap-tiap orang di situ ikut beribadat, para penyanyi menyanyi, dan para pemuzik terus memainkan sehingga semua korban selesai dibakar.
29. Selepas itu Raja Hizkia dan semua rakyat berlutut dan menyembah Allah.
30. Raja dan para pemimpin bangsa menyuruh orang Lewi menyanyikan lagu pujian kepada TUHAN, lagu yang dikarang oleh Raja Daud dan Nabi Asaf. Maka semua orang menyanyi dengan sukacita sambil berlutut dan menyembah Allah.
31. Raja Hizkia bertitah kepada rakyat, “Sekarang kamu telah mentahbiskan diri untuk TUHAN, oleh itu persembahkanlah korban kesyukuran kamu kepada TUHAN.” Mereka taat kepada perintah itu, dan ada pula antara mereka yang dengan sukarela membawa binatang-binatang untuk dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.
32. Mereka membawa 70 ekor lembu jantan, 100 ekor domba jantan, dan 200 ekor anak domba sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.
33. Mereka juga membawa 600 ekor lembu jantan, dan 3,000 ekor domba untuk dipersembahkan dan dimakan bersama oleh semua orang yang hadir.
34. Oleh sebab imam yang telah menyucikan diri terlalu sedikit jumlahnya untuk menyembelih semua binatang itu, orang Lewi menolong mereka sehingga kerja itu selesai. Orang Lewi lebih setia kepada peraturan penyucian, dan mereka terus menolong sampai ada cukup imam yang telah menyucikan diri.
35. Selain mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, para imam juga mempersembahkan lemak daripada korban-korban yang dimakan oleh rakyat. Para imam juga mempersembahkan wain bersama dengan korban untuk menyenangkan hati TUHAN.Demikianlah ibadat di Rumah TUHAN dimulakan semula.
36. Raja Hizkia dan rakyat bersukacita kerana Allah telah menolong mereka melakukan semua perkara itu dengan begitu cepat.