10. tetapi Eleazar terus berjuang melawan orang Filistin sampai tangannya menjadi kejang, dan dia tidak dapat melepaskan pedangnya. Pada hari itu TUHAN memperoleh kemenangan yang besar. Tentera Israel yang telah berundur, kembali ke tempat Eleazar bertempur, lalu menanggalkan baju perang daripada mayat-mayat di situ.
11. Orang ketiga dalam “Kumpulan Tiga” ialah Sama anak Age, dari Harar. Pada masa itu orang Filistin telah berkumpul di Lehi, di sebuah ladang kacang merah. Tentera Israel lari daripada orang Filistin,
12. tetapi Sama tetap bertahan dan bertempur di ladang itu. Dia membunuh dan mengalahkan orang Filistin sehingga dia berjaya mempertahankan ladang itu. Demikianlah TUHAN memperoleh kemenangan yang besar pada hari itu.
13. Apabila menjelang musim menuai, tiga orang daripada “Kumpulan Tiga Puluh” turun ke Gua Adulam. Pada masa itu Raja Daud berada di dalam gua itu. Sepasukan orang Filistin berkhemah di Lembah Refaim.
14. Pada masa itu Raja Daud berada di suatu bukit yang mempunyai kubu, dan sepasukan orang Filistin sudah menduduki Betlehem.
15. Raja Daud merindukan kampung halamannya, lalu baginda berkata, “Alangkah baiknya jika ada orang yang memberi beta minum air dari perigi dekat pintu gerbang di Betlehem!”
16. Mendengar kata-kata itu, tiga orang askar yang terkenal itu menembusi pertahanan orang Filistin di Betlehem. Mereka menimba air dari perigi itu lalu membawanya kepada Raja Daud. Tetapi Raja Daud tidak mahu meminum air itu, malahan baginda mencurahkan air itu sebagai persembahan kepada TUHAN.