2 Samuel 19:12-20 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

12. Bukankah kamu sanak saudara dan kaum kerabat beta? Mengapa kamu yang terakhir meminta supaya beta pulang?”

13. Raja Daud juga menyuruh mereka berkata kepada Amasa, “Engkau kerabat beta. Mulai sekarang beta melantik engkau menjadi panglima tentera untuk menggantikan Yoab. Biarlah Allah membunuh beta jika hal itu tidak beta lakukan!”

14. Kata-kata Raja Daud itu berjaya mengambil hati semua penduduk Yehuda sehingga mereka mengirim khabar meminta raja dan semua pegawainya kembali ke istana.

15. Kemudian raja berangkat dan sampai di Sungai Yordan. Sementara itu orang Yehuda sudah sampai di Gilgal untuk menyambut raja dan mengawal baginda menyeberang sungai itu.

16. Simei anak Gera, orang Benyamin dari Bahurim tergesa-gesa datang ke sungai itu untuk menemui Raja Daud.

17. Dia membawa seribu orang daripada suku Benyamin bersama-samanya. Ziba, hamba keluarga Raja Saul, juga datang bersama dengan lima belas orang anak lelakinya dan dua puluh orang hamba. Mereka tiba di Sungai Yordan lebih awal daripada raja.

18. Mereka membantu keluarga raja menyeberang sungai dan melakukan segala yang disuruh oleh raja.Apabila raja bersiap-siap untuk menyeberangi sungai, Simei bersujud di hadapannya

19. dan berkata, “Ampun tuanku, hamba mohon kiranya tuanku melupakan kesalahan yang hamba lakukan pada hari tuanku meninggalkan Yerusalem. Tolong jangan anggap hamba masih bersalah, dan jangan ingat akan hal itu lagi.

20. Hamba insaf bahawa hamba sudah berdosa; itulah sebabnya hamba mendahului semua suku dari utara untuk menghadap tuanku hari ini.”

2 Samuel 19