16. Husai berkata, “Cepat! Beritahulah Raja Daud supaya tidak bermalam di tempat penyeberangan sungai di padang gurun. Baginda harus segera menyeberangi Sungai Yordan. Jika tidak, baginda dan semua anak buahnya akan ditangkap dan dibunuh.”
17. Sementara itu Yonatan anak Abyatar dan Ahimaas anak Zadok sedang menunggu dekat mata air En-Rogel, di pinggir kota Yerusalem. Mereka tidak berani masuk ke kota kerana takut dilihat orang. Seperti biasa, mereka mendapat khabar daripada seorang hamba perempuan yang menyampaikan berita yang harus dilaporkan kepada Raja Daud.
18. Tetapi kali itu seorang anak lelaki kebetulan melihat mereka, lalu memberitahukan hal itu kepada Absalom. Oleh itu Yonatan dan Ahimaas cepat-cepat pergi dan bersembunyi di rumah seorang penduduk kampung Bahurim. Di halaman rumahnya itu ada sebuah perigi, lalu mereka masuk ke dalam perigi itu.
19. Isteri pemilik rumah itu membentangkan penutup di atas lubang perigi itu lalu menaburkan gandum di atasnya, sehingga perigi itu tidak kelihatan.
20. Orang suruhan Absalom datang ke rumah itu dan bertanya kepada wanita tadi, “Di manakah Ahimaas dan Yonatan?”“Mereka baru saja menyeberangi sungai,” jawabnya.Orang suruhan itu mencari kedua-dua orang pemuda itu, tetapi tidak menjumpai mereka. Kemudian orang suruhan itu pulang ke Yerusalem.
21. Ahimaas dan Yonatan keluar dari perigi itu, lalu segera pergi menemui Raja Daud. Mereka melaporkan segala hal yang berlaku. Mereka berkata, “Ahitofel memberi nasihat untuk menyerang tuanku. Oleh itu berangkatlah sekarang juga dan seberangilah sungai ini.”
22. Oleh itu Raja Daud dan anak buahnya menyeberangi Sungai Yordan, lalu sampai di seberang pada waktu fajar.
23. Apabila Ahitofel mengetahui bahawa nasihatnya tidak dituruti, dia memasang pelana keldainya lalu pulang ke kotanya sendiri. Setelah menyelesaikan segala urusannya, dia menggantung diri. Kemudian dia dikuburkan di dalam kuburan keluarganya.
24. Raja Daud sudah sampai di kota Mahanaim ketika Absalom menyeberangi Sungai Yordan dengan diiringi oleh orang Israel. (
25. Absalom sudah melantik Amasa menjadi panglima tentera untuk menggantikan Yoab. Amasa anak Yitra, orang Ismael; ibunya bernama Abigail anak Nahas, saudara perempuan Zeruya, ibu Yoab.)
26. Absalom dan anak buahnya berkhemah di daerah Gilead.
27. Ketika Raja Daud tiba di Mahanaim, baginda disambut oleh Sobi anak Nahas dari kota Raba di Amon, dan oleh Makhir anak Amiel dari Lodebar, dan oleh Barzilai dari Rogelim di Gilead.
28-29. Mereka membawa mangkuk, kuali tembikar, dan kain tidur untuk Raja Daud dan anak buahnya. Mereka juga membawa gandum, barli, tepung, bertih, kacang merah, kacang merah besar, madu, keju, krim, dan beberapa ekor domba. Mereka tahu bahawa Raja Daud dan anak buahnya lapar, haus, dan lelah kerana perjalanan di padang gurun.