2 Raja-Raja 9:7-26 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

7. Hendaklah engkau membunuh keluarga tuanmu, anak Ahab itu, supaya Aku dapat menghukum Izebel yang telah membunuh nabi-nabi-Ku dan hamba-hamba-Ku yang lain.

8. Semua anggota keluarga Ahab dan keturunannya mesti mati. Aku akan membunuh semua kaum lelaki keluarganya, baik yang muda mahupun yang tua.

9. Aku akan memperlakukan keluarganya seperti Aku memperlakukan keluarga Yerobeam dan Baesa, raja-raja Israel.

10. Izebel tidak akan dikebumikan. Jenazahnya akan dimakan anjing di kawasan Yizreel.’ ” Setelah mengatakan semua itu, nabi muda itu meninggalkan bilik lalu pergi dengan cepat.

11. Yehu kembali kepada para panglima yang lain. Mereka bertanya kepadanya, “Apakah berita yang dibawanya? Mengapa orang gila itu datang kepadamu?”“Tidakkah kamu tahu?” tanya Yehu.

12. “Tidak!” jawab mereka. “Beritahukanlah apa katanya.”“Dia memberitahu saya bahawa TUHAN mengisytiharkan, ‘Aku telah melantik engkau menjadi raja Israel.’ ”

13. Pada saat itu juga, sahabat-sahabat Yehu membentangkan jubah mereka di bahagian atas tangga bagi Yehu. Mereka meniup trompet dan berseru, “Yehu raja!”

16. Raja Yehu menaiki kereta kuda baginda, lalu berangkat ke Yizreel. Pada masa itu Raja Yoram masih belum sembuh, dan Raja Ahazia dari Yehuda berada di situ untuk menziarahi Raja Yoram.

17. Seorang pengawal yang bertugas di menara di Yizreel nampak Raja Yehu dan anak buahnya datang. Katanya, “Hamba nampak beberapa orang datang!”Raja Yoram menjawab, “Suruhlah seorang askar berkuda pergi menyiasat sama ada mereka itu kawan atau lawan.”

18. Askar itu menghampiri Raja Yehu dan berkata kepadanya, “Raja Yoram hendak tahu sama ada tuan datang sebagai sahabat.”“Itu bukan urusanmu!” jawab Raja Yehu. “Ikutlah di belakang beta.”Pengawal yang di menara itu melaporkan bahawa askar itu telah sampai kepada kumpulan orang itu, tetapi dia tidak kembali.

19. Seorang askar lain disuruh pergi, dan dia menanyakan hal yang sama kepada Raja Yehu. Sekali lagi Raja Yehu menjawab, “Itu bukan urusanmu! Ikutlah di belakang beta.”

20. Sekali lagi pengawal itu melaporkan bahawa askar itu telah sampai kepada kumpulan orang itu, tetapi dia tidak kembali. Katanya lagi, “Pemimpin rombongan itu memandu kereta kudanya seperti orang gila, seolah-olah dia itu Yehu!”

21. Raja Yoram bertitah, “Siapkanlah kereta kuda beta.” Setelah kereta kudanya siap, baginda dan Raja Ahazia berangkat dengan kereta kuda masing-masing untuk menemui Raja Yehu. Mereka bertemu dengan Raja Yehu di ladang bekas milik Nabot.

22. Raja Yoram bertanya kepada Raja Yehu, “Adakah kamu datang sebagai sahabat?”Raja Yehu bertitah, “Mana mungkin sebagai sahabat selama di sini masih berlaku di sini ilmu sihir dan penyembahan berhala yang dimulakan oleh Izebel, bonda raja itu?”

23. “Pengkhianatan!” seru Raja Yoram kepada Raja Ahazia, sambil membelokkan kereta kudanya lalu melarikan diri dari situ.

24. Tetapi Raja Yehu mengambil busurnya, dan dengan sekuat tenaga baginda memanah Raja Yoram dari belakang. Anak panah itu menusuk jantung Raja Yoram, lalu baginda jatuh dan mangkat di dalam kereta kudanya.

25. Raja Yehu bertitah kepada Bidkar, ajutannya, “Ambillah jenazahnya dan buangkan di tanah milik Nabot. Ingatlah bahawa ketika kamu dan beta menunggang kuda di belakang Raja Ahab, ayahanda Raja Yoram dahulu, TUHAN pernah berfirman demikian untuk menentang Raja Ahab,

26. ‘Semalam Aku nampak pembunuhan Nabot dan anak-anaknya. Sekarang Aku berjanji bahawa Aku akan menghukum engkau di sini, di tanah ini juga.’ Oleh itu ambillah jenazah Raja Yoram, dan buangkan ke tanah bekas milik Nabot, supaya terlaksana hukuman Allah kepadanya.”

2 Raja-Raja 9