2. Apabila kamu sampai di sana carilah Yehu anak Yosafat, cucu Nimsi. Bawalah dia sendirian ke suatu bilik, terasing daripada sahabat-sahabatnya.
3. Lalu tuanglah minyak zaitun ini ke atas kepalanya dan katakan, ‘Dengan ini TUHAN mengisytiharkan bahawa Dia telah melantik engkau menjadi raja Israel.’ Setelah itu tinggalkanlah tempat itu secepat mungkin.”
4. Nabi muda itu pergi ke Ramot.
5. Di sana dia menjumpai Yehu dan para panglima tentera sedang bermesyuarat. Dia berkata, “Tuan, saya ada berita untuk tuan.”Yehu bertanya, “Kepada siapakah kamu menyampaikan berita itu?”“Kepada tuan,” jawabnya.
6. Kemudian mereka berdua masuk ke dalam bilik, lalu nabi muda itu menuangkan minyak zaitun ke atas kepala Yehu sambil berkata, “TUHAN, Allah Israel mengisytiharkan, ‘Dengan ini Aku melantik engkau menjadi raja umat-Ku Israel.
7. Hendaklah engkau membunuh keluarga tuanmu, anak Ahab itu, supaya Aku dapat menghukum Izebel yang telah membunuh nabi-nabi-Ku dan hamba-hamba-Ku yang lain.
8. Semua anggota keluarga Ahab dan keturunannya mesti mati. Aku akan membunuh semua kaum lelaki keluarganya, baik yang muda mahupun yang tua.
9. Aku akan memperlakukan keluarganya seperti Aku memperlakukan keluarga Yerobeam dan Baesa, raja-raja Israel.
14-15. Selepas itu Raja Yehu berkomplot melawan Raja Yoram. Pada masa itu Raja Yoram berada di Yizreel. Raja Yoram pergi ke sana untuk mendapatkan rawatan bagi lukanya akibat pertempuran di Ramot melawan Raja Hazael, raja negeri Siria. Raja Yehu berkata kepada sahabat-sahabatnya, “Jika kamu setuju beta menjadi raja, jagalah supaya jangan seorang pun keluar dari Ramot untuk memberitahukan rahsia itu kepada penduduk Yizreel.”
16. Raja Yehu menaiki kereta kuda baginda, lalu berangkat ke Yizreel. Pada masa itu Raja Yoram masih belum sembuh, dan Raja Ahazia dari Yehuda berada di situ untuk menziarahi Raja Yoram.
17. Seorang pengawal yang bertugas di menara di Yizreel nampak Raja Yehu dan anak buahnya datang. Katanya, “Hamba nampak beberapa orang datang!”Raja Yoram menjawab, “Suruhlah seorang askar berkuda pergi menyiasat sama ada mereka itu kawan atau lawan.”
18. Askar itu menghampiri Raja Yehu dan berkata kepadanya, “Raja Yoram hendak tahu sama ada tuan datang sebagai sahabat.”“Itu bukan urusanmu!” jawab Raja Yehu. “Ikutlah di belakang beta.”Pengawal yang di menara itu melaporkan bahawa askar itu telah sampai kepada kumpulan orang itu, tetapi dia tidak kembali.
19. Seorang askar lain disuruh pergi, dan dia menanyakan hal yang sama kepada Raja Yehu. Sekali lagi Raja Yehu menjawab, “Itu bukan urusanmu! Ikutlah di belakang beta.”
20. Sekali lagi pengawal itu melaporkan bahawa askar itu telah sampai kepada kumpulan orang itu, tetapi dia tidak kembali. Katanya lagi, “Pemimpin rombongan itu memandu kereta kudanya seperti orang gila, seolah-olah dia itu Yehu!”
21. Raja Yoram bertitah, “Siapkanlah kereta kuda beta.” Setelah kereta kudanya siap, baginda dan Raja Ahazia berangkat dengan kereta kuda masing-masing untuk menemui Raja Yehu. Mereka bertemu dengan Raja Yehu di ladang bekas milik Nabot.