5. Raja Yosia memecat semua imam yang dilantik oleh raja-raja Yehuda untuk mempersembahkan korban di mazbah-mazbah dewa di kota-kota Yehuda, dan di tempat-tempat di sekitar Yerusalem. Semua imam itu telah mempersembahkan korban kepada Baal, matahari, bulan, planet, dan bintang-bintang.
6. Raja Yosia mengeluarkan lambang Dewi Asyera dari Rumah TUHAN, lalu membawanya ke luar kota, ke Lembah Kidron untuk dibakar. Kemudian arangnya ditumbuk sehingga menjadi abu, lalu dihamburkan di perkuburan awam.
7. Raja Yosia merobohkan tempat tinggal pelacur-pelacur kuil di dalam Rumah TUHAN. (Di situlah kaum wanita menenun kain jubah yang dipakai dalam pemujaan Dewi Asyera.)
8. Raja Yosia membawa semua imam dari kota-kota di Yehuda ke Yerusalem, lalu di seluruh negeri itu baginda menajiskan mazbah-mazbah tempat imam-imam itu mempersembahkan korban. Baginda juga merobohkan mazbah-mazbah yang terletak dekat pintu gerbang yang dibina oleh Yosua, gabenor kota itu. Pintu gerbang itu terletak di sebelah kiri pintu gerbang utama di jalan masuk ke kota.
9. Imam-imam itu tidak dibenarkan menyelenggarakan ibadat di Rumah TUHAN, tetapi mereka dibenarkan memakan roti yang tidak beragi, yang disediakan untuk imam, rakan-rakan mereka.
10. Raja Yosia juga mencemarkan Tofet, tempat pemujaan dewa di Lembah Hinom, supaya tiada sesiapa pun dapat mempersembahkan anaknya sebagai korban yang dibakar kepada Dewa Molokh.
11. Raja Yosia juga menyingkirkan semua kuda yang dikhaskan oleh raja-raja Yehuda untuk penyembahan matahari. Baginda membakar semua kereta kuda yang digunakan untuk penyembahan matahari. (Benda-benda itu disimpan di halaman Rumah TUHAN, dekat pintu gerbang, tidak jauh dari tempat tinggal Natan Melekh, seorang pegawai tinggi.)
12. Baginda merobohkan mazbah-mazbah yang dibina oleh raja-raja Yehuda di bumbung istana, di atas bilik-bilik Raja Ahas. Raja Yosia juga merobohkan mazbah-mazbah yang dibina oleh Raja Manasye di dua halaman Rumah TUHAN. Raja Yosia menghancurkan mazbah-mazbah itu lalu membuangnya ke dalam Lembah Kidron.
13. Raja Yosia juga mencemarkan mazbah-mazbah yang dibina oleh Raja Salomo di sebelah timur Yerusalem, di sebelah selatan Bukit Zaitun bagi pemujaan dewa-dewa yang menjijikkan, iaitu Asytoret, dewa orang Sidon; Kamos, dewa orang Moab; dan Milkom, dewa orang Amon.
14. Raja Yosia merobohkan lambang-lambang yang dikhaskan untuk Dewi Asyera, dan menghancurkan tiang-tiang batu, lalu menimbuni tanah itu dengan tulang-tulang manusia.
15. Raja Yosia juga merobohkan tempat pemujaan di Betel, yang dibina oleh Raja Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan Israel berdosa. Raja Yosia merobohkan mazbah di tempat pemujaan itu. Baginda menghancurkan batu-batu mazbah itu, dan menumbuknya menjadi debu. Baginda juga membakar patung Dewi Asyera.
16. Selepas itu Raja Yosia melihat di sekelilingnya dan nampak beberapa kubur di atas bukit. Baginda membongkar kubur-kubur itu, lalu mengeluarkan dan membakar tulang dari kubur-kubur itu, di atas mazbah. Demikianlah Raja Yosia mencemarkan mazbah itu. Dengan demikian terjadilah nubuat seorang nabi pada masa perayaan, ketika Raja Yerobeam berdiri dekat mazbah itu. Raja Yosia melihat lagi di sekelilingnya, lalu nampak sebuah kubur lain.
17. Raja Yosia bertanya, “Kubur siapakah ini?”Penduduk Betel berkata, “Inilah kubur nabi dari Yehuda yang menubuatkan perkara-perkara yang baru sahaja tuanku lakukan terhadap mazbah ini.”
18. Lalu Raja Yosia bertitah, “Biarkanlah kubur itu. Jangan pindahkan tulangnya!”Oleh itu tulang nabi dari Yehuda itu tidak dipindahkan. Tulang nabi dari Samaria pun tidak dipindahkan.
19. Di tiap-tiap kota di Israel, Raja Yosia merobohkan semua tempat pemujaan dewa yang dibina oleh raja-raja Israel, yang telah membangkitkan kemurkaan TUHAN. Baginda memperlakukan mazbah-mazbah itu seperti apa yang dilakukan baginda di Betel.
20. Raja Yosia membunuh semua imam yang bertugas di tempat pemujaan dewa itu di atas mazbah-mazbah mereka sendiri. Baginda juga membakar tulang manusia di atas tiap-tiap mazbah. Selepas itu Raja Yosia kembali ke Yerusalem.
21. Kemudian Raja Yosia memerintah rakyat baginda merayakan Paska untuk menghormati TUHAN, Allah mereka, sebagaimana yang tertulis di dalam kitab perjanjian.
22. Belum pernah Paska seperti ini dirayakan oleh mana-mana raja Israel atau raja Yehuda sejak zaman pahlawan-pahlawan memerintah Israel.
23. Tetapi sekarang, pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yosia, Paska dirayakan di Yerusalem.
24. Untuk menguatkuasakan hukum-hukum yang terkandung di dalam kitab yang ditemui oleh Imam Agung Hilkia di Rumah TUHAN itu, Raja Yosia mengusir semua dukun dan tukang tilik dari Yerusalem. Raja Yosia juga membuang semua dewa rumahtangga, berhala, dan semua benda yang digunakan untuk pemujaan dewa.
25. Belum pernah ada seorang raja yang seperti Raja Yosia, yang mengabdi kepada TUHAN dengan segenap hati, serta menunjukkan pengabdian itu dalam cara hidup dan perbuatan baginda, sesuai dengan seluruh Taurat Musa. Sesudah Raja Yosia, tiada lagi raja yang seperti baginda.