3. Raja Hizkia mengikut teladan nenek moyangnya Raja Daud, kerana baginda melakukan apa yang menyenangkan hati TUHAN.
4. Baginda memusnahkan tempat-tempat penyembahan berhala, memecahkan tiang-tiang batu, dan merobohkan patung-patung Dewi Asyera. Baginda juga menghancurkan ular gangsa yang dibuat oleh Musa dahulu, yang dikenal sebagai Nehustan, kerana hingga masa itu umat Israel masih membakar kemenyan untuk menghormati ular gangsa itu.
5. Raja Hizkia percaya kepada TUHAN, Allah Israel. Tidak pernah lagi Yehuda mempunyai raja seperti Raja Hizkia, baik sebelum ataupun sesudah pemerintahan baginda.
6. Raja Hizkia taat kepada TUHAN, dan tidak pernah membantah-Nya. Dengan sungguh-sungguh baginda mentaati segala perintah yang telah diberikan oleh TUHAN dengan perantaraan Musa.
7. Oleh itu TUHAN menyertai baginda, dan baginda berjaya dalam segala usahanya. Baginda memberontak terhadap raja Asyur dan tidak mahu takluk kepadanya.
8. Raja Hizkia mengalahkan orang Filistin dan menjarah daerah mereka, dari kampung yang terkecil sampai ke kota yang terbesar, termasuk Gaza dan kawasan di sekitarnya.
9. Pada tahun keempat pemerintahan Raja Hizkia, iaitu pada tahun ketujuh pemerintahan Raja Hosea di Israel, Raja Salmaneser dari Asyur menyerang Israel dan mengepung kota Samaria.
10. Tiga tahun kemudian, kota Samaria dikalahkan. Hal itu berlaku pada tahun keenam pemerintahan Raja Hizkia, dan tahun kesembilan pemerintahan Raja Hosea.
11. Kemudian raja Asyur membawa umat Israel ke Asyur sebagai orang tawanan, lalu menempatkan sebilangan daripada mereka di kota Halah, sebilangan di tepi Sungai Habor di daerah Gozan, dan sebahagian lagi di kota-kota negeri Madai.
12. Samaria jatuh kerana umat Israel tidak taat kepada TUHAN, Allah mereka. Mereka mengingkari perjanjian yang dibuat oleh TUHAN dengan mereka, dan mereka melanggar semua hukum yang diberikan oleh Musa, hamba TUHAN. Mereka tidak mahu mendengar ataupun taat.
13. Pada tahun keempat belas pemerintahan Raja Hizkia, Raja Sanherib dari Asyur, menyerang kota-kota yang berkubu di Yehuda serta mengalahkan semuanya.
14. Raja Hizkia mengirim berita kepada Raja Sanherib yang ketika itu berada di Lakhis. Raja Hizkia bertitah, “Beta telah bersalah. Hentikanlah serangan tuanku. Beta akan membayar apa sahaja yang tuanku tuntut.” Raja Sanherib menuntut 10,000 kilogram perak dan 1,000 kilogram emas daripada Raja Hizkia.
15. Raja Hizkia mengirim semua perak di Rumah TUHAN dan di perbendaharaan istana kepadanya.
16. Baginda juga melucutkan emas daripada pintu-pintu Rumah TUHAN dan emas yang digunakannya untuk meliputi tiang-tiang pintu itu. Lalu Raja Hizkia mengirim semuanya kepada Raja Sanherib.
17. Tetapi raja Asyur mengirim satu pasukan tentera yang besar dari Lakhis untuk menyerang Raja Hizkia di Yerusalem. Pasukan itu diketuai oleh tiga orang pegawai tinggi tentera, iaitu seorang panglima, seorang juru minuman, dan seorang ketua pengawal raja. Apabila mereka tiba di Yerusalem, mereka mengambil tempat di jalan, tempat pembuat kain bekerja, dekat saluran yang menyalurkan air dari kolam di sebelah atas.
18. Setelah itu mereka memanggil Raja Hizkia, tetapi tiga orang pegawai baginda datang menemui mereka, iaitu Elyakim anak Hilkia, pengurus istana; Sebna, setiausaha istana dan Yoah anak Asaf, setiausaha negara.
19. Salah seorang pegawai tentera Asyur itu berkata, “Sampaikanlah titah raja Asyur kepada Raja Hizkia, ‘Mengapa raja begitu yakin?