2 Raja-Raja 18:11-25 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

11. Kemudian raja Asyur membawa umat Israel ke Asyur sebagai orang tawanan, lalu menempatkan sebilangan daripada mereka di kota Halah, sebilangan di tepi Sungai Habor di daerah Gozan, dan sebahagian lagi di kota-kota negeri Madai.

12. Samaria jatuh kerana umat Israel tidak taat kepada TUHAN, Allah mereka. Mereka mengingkari perjanjian yang dibuat oleh TUHAN dengan mereka, dan mereka melanggar semua hukum yang diberikan oleh Musa, hamba TUHAN. Mereka tidak mahu mendengar ataupun taat.

13. Pada tahun keempat belas pemerintahan Raja Hizkia, Raja Sanherib dari Asyur, menyerang kota-kota yang berkubu di Yehuda serta mengalahkan semuanya.

14. Raja Hizkia mengirim berita kepada Raja Sanherib yang ketika itu berada di Lakhis. Raja Hizkia bertitah, “Beta telah bersalah. Hentikanlah serangan tuanku. Beta akan membayar apa sahaja yang tuanku tuntut.” Raja Sanherib menuntut 10,000 kilogram perak dan 1,000 kilogram emas daripada Raja Hizkia.

15. Raja Hizkia mengirim semua perak di Rumah TUHAN dan di perbendaharaan istana kepadanya.

16. Baginda juga melucutkan emas daripada pintu-pintu Rumah TUHAN dan emas yang digunakannya untuk meliputi tiang-tiang pintu itu. Lalu Raja Hizkia mengirim semuanya kepada Raja Sanherib.

17. Tetapi raja Asyur mengirim satu pasukan tentera yang besar dari Lakhis untuk menyerang Raja Hizkia di Yerusalem. Pasukan itu diketuai oleh tiga orang pegawai tinggi tentera, iaitu seorang panglima, seorang juru minuman, dan seorang ketua pengawal raja. Apabila mereka tiba di Yerusalem, mereka mengambil tempat di jalan, tempat pembuat kain bekerja, dekat saluran yang menyalurkan air dari kolam di sebelah atas.

18. Setelah itu mereka memanggil Raja Hizkia, tetapi tiga orang pegawai baginda datang menemui mereka, iaitu Elyakim anak Hilkia, pengurus istana; Sebna, setiausaha istana dan Yoah anak Asaf, setiausaha negara.

19. Salah seorang pegawai tentera Asyur itu berkata, “Sampaikanlah titah raja Asyur kepada Raja Hizkia, ‘Mengapa raja begitu yakin?

20. Adakah pada sangka raja bahawa kata-kata dapat menggantikan kecekapan dan kekuatan tentera? Siapakah yang raja harap untuk menolong raja memberontak terhadap Asyur?

21. Raja mengharapkan bantuan dari Mesir, tetapi hal itu seperti orang yang menggunakan gelagah sebagai tongkat. Tongkat itu akan patah dan menusuk tangan raja sendiri. Begitulah raja Mesir terhadap sesiapa yang berharap kepadanya.’ ”

22. Pegawai Asyur itu meneruskan lagi, “Atau mungkinkah kamu berkata bahawa kamu berharap kepada TUHAN, Allah kamu? Pada waktu Raja Hizkia memerintahkan orang Yehuda dan Yerusalem beribadat di mazbah di Yerusalem sahaja, yang dimusnahkannya itu mazbah dan tempat-tempat penyembahan kepada TUHAN sendiri.

23. Aku akan bertaruh dengan kamu demi nama raja Asyur. Aku akan memberi kamu dua ribu ekor kuda jika kamu mempunyai orang sebanyak itu untuk menunggangi semua kuda itu!

24. Kamu tidak dapat melawan kami bahkan pegawai Asyur yang paling rendah sekalipun, namun kamu mengharapkan orang Mesir menghantar kereta kuda dan pasukan berkuda kepada kamu.

25. Adakah kamu menyangka bahawa aku menyerang negeri kamu dan memusnahkannya tanpa pertolongan TUHAN? TUHAN sendiri menyuruh aku menyerang serta memusnahkannya.”

2 Raja-Raja 18