1. Pada tahun kedua belas pemerintahan Raja Ahas di Yehuda, Hosea anak Ela menjadi raja di Israel. Raja Hosea memerintah di Samaria selama sembilan tahun.
2. Raja Hosea berdosa terhadap TUHAN, tetapi dosanya tidak sebesar dosa raja-raja yang memerintah Israel sebelumnya.
3. Pada masa itu Raja Salmaneser dari Asyur berperang dengan Raja Hosea. Raja Hosea menyerah kepada Raja Salmaneser dan membayar ufti kepadanya tiap-tiap tahun.
4. Tetapi pada suatu masa, Raja Hosea mengirim beberapa orang utusan kepada Raja So, raja Mesir untuk meminta pertolongan baginda. Setelah itu Raja Hosea berhenti membayar ufti tahunan kepada raja Asyur. Apabila Raja Salmaneser mengetahui hal itu, baginda menangkap Raja Hosea lalu memasukkan baginda ke dalam penjara.
5. Raja Salmaneser menyerang Israel dan mengepung Samaria. Tiga tahun kemudian,
6. iaitu pada tahun kesembilan pemerintahan Raja Hosea, raja Asyur mengalahkan Samaria. Baginda membawa orang Israel ke Asyur sebagai orang tawanan. Baginda menempatkan sebilangan daripada orang Israel di kota Halah, sebilangan di tepi Sungai Habor di daerah Gozan, dan sebilangan lagi di kota-kota negeri Madai.
7. Kota Samaria jatuh kerana umat Israel berdosa terhadap TUHAN, Allah mereka, yang telah menyelamatkan mereka daripada raja Mesir dan membawa mereka keluar dari negeri Mesir. Mereka menyembah tuhan-tuhan lain,
8. serta mengikut kebiasaan bangsa yang telah diusir oleh TUHAN ketika umat Israel menduduki negeri itu. Umat Israel mengikut adat istiadat yang ditetapkan oleh raja-raja Israel.
9. Mereka melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh TUHAN, Allah mereka. Mereka membina tempat-tempat penyembahan berhala di semua kota mereka, dari kampung yang terkecil sampai ke kota yang terbesar.
10. Di semua bukit dan di bawah tiap-tiap pokok yang rendang, mereka mendirikan tiang-tiang batu dan patung-patung Dewi Asyera.
11. Mereka membakar kemenyan di atas semua mazbah untuk dewa, mengikut kebiasaan bangsa yang telah diusir oleh TUHAN dari negeri itu. Mereka membangkitkan kemurkaan TUHAN kerana segala perbuatan mereka yang jahat itu,
12. dan tidak taat kepada TUHAN yang melarang mereka menyembah berhala.