8. Kesombongan membuat raja menyangka baginda mempunyai kekuatan ghaib sehingga dapat memerintah ombak-ombak di laut dan dapat menimbang gunung-gunung tinggi dengan neraca. Tetapi dengan tiba-tibanya baginda jatuh terpelanting ke tanah dan harus diangkut dengan usungan. Dengan demikian ternyatalah kepada semua orang kekuasaan Allah.
9. Raja menderita penyakit yang amat sangat dan juga dari mata orang keparat itu keluar ulat-ulat. Sementara masih hidup, dagingnya sudah membusuk dan baunya sangat menusuk, sehingga menjijikkan seluruh tentera baginda.
10. Oleh sebab baunya yang sangat busuk, tidak seorang pun dapat mendekat untuk memikul baginda. Padahal tidak lama sebelum itu baginda menyangka dapat meraih bintang-bintang.
11. Raja Antiokhus menderita kesakitan terus-menerus kerana hukuman Allah yang menimpa baginda. Akhirnya hati baginda remuk-redam; baginda sedar dan mula melepaskan kesombongan baginda.
12. Kemudian, ketika tidak dapat tahan lagi bau busuk baginda sendiri, baginda berkata, “Semua makhluk yang fana haruslah tunduk kepada Allah dan tidak menganggap dirinya sama dengan Dia.”
13. Orang yang keji itu kemudian membuat janji kepada Tuhan yang tidak akan melepaskan baginda lagi.
14. Raja Antiokhus bertitah, “Dahulu beta bergegas-gegas ke Yerusalem untuk meratakannya dengan tanah dan membuatnya menjadi kubur orang Yahudi. Tetapi sekarang beta isytiharkan kota itu merdeka.
15. Beta bermaksud membuang mayat-mayat orang Yahudi dan anak-anak mereka untuk makanan binatang buas dan burung-burung, oleh sebab beta anggap mereka tidak layak untuk dikubur. Tetapi sekarang beta akan memberikan mereka hak-hak istimewa seperti penduduk kota Atena.
16. Dahulu beta merampas Rumah Allah, tetapi sekarang beta mahu melengkapinya dengan hadiah yang indah-indah dan mengembalikan perabot-perabot lebih banyak dari yang dahulu. Semua korban akan beta biayai daripada pendapatan beta sendiri.
17. Selain itu beta mahu masuk agama Yahudi dan menjelajah semua tempat yang didiami orang untuk memberitakan kekuasaan Allah.”
18. Raja Antiokhus berasa putus asa. Tidak ada sesuatu pun yang dapat mengurangkan kesakitan baginda, kerana Allah sedang menghukum baginda dengan hukuman yang setimpal dengan kejahatan baginda. Maka baginda menulis sepucuk surat kepada orang Yahudi. Kandungan surat itu sebagai berikut:
19. “Daripada Raja dan Panglima Antiokhus kepada orang Yahudi, rakyat beta yang setia, selamat sejahtera.
20. Beta berharap kamu dan keluarga kamu sihat walafiat dan segalanya baik seperti yang kamu inginkan. Harapan beta adalah pada Allah.