32. Mereka juga membunuh komandan tentera Timotius, iaitu orang yang sangat jahat, yang telah mendatangkan banyak kesusahan terhadap orang Yahudi.
33. Dalam perayaan kemenangan yang diadakan di tanah air mereka, orang Yahudi membakar beberapa orang yang telah membakar pintu-pintu gerbang Rumah Tuhan. Kalistenes yang telah melarikan diri ke sebuah rumah kecil juga turut terbakar. Dengan demikian dia mendapat hukuman yang setimpal dengan kejahatannya.
34. Dengan cara itu Nikanor, orang keparat yang membawa seribu orang saudagar untuk membeli orang Yahudi,
35. dengan pertolongan Tuhan dikalahkan oleh orang yang dipandangnya sangat hina. Dia menanggalkan pakaian kebesarannya dan melarikan diri seperti hamba pelarian. Dengan melalui jalan-jalan di pedalaman dia sampai di Antiokhia. Dia dapat melepaskan diri sedangkan seluruh tenteranya dibinasakan.
36. Orang itu yang berusaha untuk membayar cukai kepada Roma dengan menjual penduduk Yerusalem, memberitakan bahawa orang Yahudi mempunyai Allah Yang Maha Kuasa sebagai Pembela, dan bahawa mereka tidak dapat dikalahkan kerana mentaati hukum-hukum yang ditetapkan Allah.