2 Makabe 8:3-17 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

3. dan juga supaya Dia berbelas kasihan pada kota Yerusalem yang sudah dimusnahkan dan hampir diratakan dengan tanah, dan mendengarkan teriakan orang yang dibunuh.

4. Mereka mohon juga supaya Tuhan menunjukkan kebencian-Nya terhadap yang jahat dengan membalas perbuatan orang yang mengutuk Allah dan dengan kejam membunuh bayi-bayi yang tidak bersalah.

5. Sesudah Yudas mengatur pasukannya, bangsa-bangsa lain tidak dapat mengalahkan dia kerana kemurkaan Tuhan terhadap Israel sudah berubah menjadi belas kasihan.

8. Apabila Filipus, gabenor Yudea, melihat bahawa Yudas semakin maju dan semakin sering mendapat kemenangan, dia menulis surat kepada Ptolemeus, gabenor Siria Besar, dan Fenisia supaya datang membela kepentingan kerajaan.

9. Ptolemeus dengan segeranya melantik Nikanor anak Patroklus, seorang daripada kalangan sahabat raja yang utama. Nikanor disuruh memimpin sebuah pasukan tentera yang terdiri daripada 20,000 orang daripada berbagai-bagai bangsa untuk memusnahkan seluruh bangsa Yahudi. Ptolemeus juga melantik Gorgias, panglima yang mempunyai banyak pengalaman perang supaya ikut bersama.

10. Raja Antiokhus harus membayar cukai 68,500 kilogram perak kepada orang Roma, dan Nikanor bercadang untuk membayarnya dengan menjual tawanan perang Yahudi sebagai hamba.

11. Maka dia dengan segera mengirimkan berita ke kota-kota di pesisir bahawa mereka dapat membeli hamba-hamba Yahudi dengan harga kurang daripada satu kilogram perak bagi seorang. Dia tidak tahu bahawa dia akan ditimpa hukuman Allah Yang Maha Kuasa.

12. Yudas mendapat khabar bahawa Nikanor dan pasukannya sudah berangkat menuju ke Yerusalem. Yudas mengumumkan kepada anak buahnya bahawa tentera musuh sudah dekat.

13. Lalu orang yang pengecut dan yang tidak percaya kepada keadilan Allah lari meninggalkan tempat itu.

14. Yang lain menjual segala yang masih ada pada mereka lalu bersama-sama berdoa kepada Tuhan supaya Dia menyelamatkan mereka daripada Nikanor penjahat itu, yang sudah pun menjual mereka sebelum pertempuran bermula.

15. Mereka memohon, sekiranya Tuhan tidak mahu bertindak demi mereka sendiri, maka Dia menyelamatkan mereka demi perjanjian yang dibuat-Nya dengan nenek moyang mereka dan kerana Dia, Allah Yang Agung dan Mulia, telah memilih mereka menjadi umat-Nya.

16. Lalu Yudas mengumpulkan anak buahnya sebanyak 6,000 orang dan memberi semangat kepada mereka supaya jangan cemas atau takut melihat banyak orang asing yang datang berperang melawan mereka tanpa alasan. Sebaliknya, mereka harus berjuang dengan gagah berani,

17. dan tidak lupa bagaimana bangsa asing telah berbuat jahat terhadap Rumah Tuhan, mencemuh dan menyengsarakan kota Yerusalem dan menghapuskan adat istiadat nenek moyang.

2 Makabe 8