24. Allah Yang Maha Kuasa ada di pihak mereka. Oleh itu mereka berjaya membunuh lebih daripada 9,000 orang tentera musuh dan mencederakan sebahagian besar tentera Nikanor. Lalu seluruh tentera Nikanor dipaksa lari.
25. Mereka juga merampas wang orang yang datang untuk membeli mereka sebagai hamba. Lalu mereka mengejar musuh hingga jauh tetapi mereka harus kembali kerana waktu tidak mengizinkan.
26. Maklumlah ketika itu hampir malam Sabat.
27. Sesudah mengumpulkan senjata dan merampas perlengkapan musuh, mereka merayakan Sabat. Mereka memuji-muji Tuhan dan bersyukur kepada-Nya kerana Dia telah melindungi mereka hingga hari itu dan sudah mula menunjukkan belas kasihan-Nya kepada mereka.
28. Selepas hari Sabat, sebahagian daripada barang rampasan dibahagi-bahagikan kepada mangsa-mangsa penganiayaan, para janda, dan yatim piatu. Sisanya dibahagi-bahagikan kepada sesama mereka dan keluarga mereka.
29. Kemudian mereka bersama-sama berdoa dan memohon kepada Tuhan Yang Maha Pemurah supaya Dia berdamai sepenuhnya dengan hamba-hamba-Nya.
30. Dalam pertempuran melawan tentera Timotius dan Bakhides, orang Yahudi membinasakan lebih daripada 20,000 orang pasukan musuh. Mereka merebut beberapa buah kubu yang tinggi dan mendapat banyak barang rampasan yang dibahagikan mereka dalam bahagian-bahagian yang sama; sebahagian untuk mereka sendiri, dan sebahagian lagi untuk para janda, yatim piatu, orang tua, dan mangsa-mangsa penganiayaan.