2 Makabe 8:16-22 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

16. Lalu Yudas mengumpulkan anak buahnya sebanyak 6,000 orang dan memberi semangat kepada mereka supaya jangan cemas atau takut melihat banyak orang asing yang datang berperang melawan mereka tanpa alasan. Sebaliknya, mereka harus berjuang dengan gagah berani,

17. dan tidak lupa bagaimana bangsa asing telah berbuat jahat terhadap Rumah Tuhan, mencemuh dan menyengsarakan kota Yerusalem dan menghapuskan adat istiadat nenek moyang.

18. Kata Yudas, “Mereka bergantung kepada senjata dan keberanian mereka. Tetapi kita menaruh kepercayaan kepada Allah Yang Maha Kuasa yang dapat membinasakan bukan sahaja pasukan musuh itu, bahkan seluruh dunia dengan hanya satu anggukan kepala-Nya.”

19. Kemudian Yudas mengingatkan mereka akan segala pertolongan Tuhan pada zaman leluhur mereka, misalnya pada masa Sanherib, ketika 185,000 orang musuh dibinasakan;

20. dan dalam pertempuran melawan orang Galatia di Babilonia yang melibatkan 8,000 orang Yahudi yang telah menolong 4,000 orang Makedonia. Ketika orang Makedonia terhimpit, 8,000 orang itu membunuh 120,000 orang Galatia dan mendapat banyak barang rampasan perang. Mereka berjaya kerana pertolongan Allah.

21. Kata-kata Yudas meneguhkan hati anak buahnya, sehingga mereka bersedia mati untuk agama dan tanah air. Lalu Yudas membahagikan tenteranya menjadi empat bahagian,

22. setiap bahagian berjumlah lebih kurang 1,500 orang, diketuai oleh dia sendiri dan saudara-saudaranya, iaitu Simon, Yusuf, dan Yonatan.

2 Makabe 8