1. Yudas Makabe dan para pengikutnya dengan diam-diam menyusup ke kampung-kampung. Mereka memanggil kaum kerabat mereka dan mengumpulkan lebih kurang 6,000 orang Yahudi yang tetap setia kepada agama mereka.
2. Mereka memohon kepada Tuhan supaya Dia menolong umat-Nya yang sekarang ditindas oleh semua bangsa, dan untuk mengasihani Rumah-Nya yang dicemarkan oleh orang jahat,
3. dan juga supaya Dia berbelas kasihan pada kota Yerusalem yang sudah dimusnahkan dan hampir diratakan dengan tanah, dan mendengarkan teriakan orang yang dibunuh.
4. Mereka mohon juga supaya Tuhan menunjukkan kebencian-Nya terhadap yang jahat dengan membalas perbuatan orang yang mengutuk Allah dan dengan kejam membunuh bayi-bayi yang tidak bersalah.
5. Sesudah Yudas mengatur pasukannya, bangsa-bangsa lain tidak dapat mengalahkan dia kerana kemurkaan Tuhan terhadap Israel sudah berubah menjadi belas kasihan.
6-7. Yudas melancarkan serangannya dengan tiba-tiba, dan biasanya dia lebih berjaya pada waktu malam. Kampung-kampung dan kota-kota dibakarnya, tempat-tempat yang strategik direbutnya, dan banyak musuh dipaksanya lari. Yudas menjadi termasyhur di mana-mana kerana keberaniannya.
8. Apabila Filipus, gabenor Yudea, melihat bahawa Yudas semakin maju dan semakin sering mendapat kemenangan, dia menulis surat kepada Ptolemeus, gabenor Siria Besar, dan Fenisia supaya datang membela kepentingan kerajaan.