2 Makabe 7:4-24 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

4. Sesudah dipanaskan, baginda memerintah supaya lidah jurucakap itu dipotong, kulit kepalanya dikupas dan tangan serta kakinya dipenggal dengan disaksikan oleh ibu dan keenam-enam orang saudaranya.

5. Sesudah dikudung seluruhnya, raja memerintahkan supaya dia hidup-hidup digoreng di dalam kuali. Sementara wapnya mengepul, ibu dan saudara-saudaranya saling memberi semangat supaya mati secara perwira. Kata mereka,

6. “Tuhan Allah melihat kita dan memahami penderitaan kita. Kita tahu hal itu daripada nyanyian Musa mengecam orang yang murtad. Kata Musa, ‘Tuhan mengasihani orang yang mengabdi kepada-Nya.’ ”

7. Sesudah saudara yang pertama mati dengan cara itu, yang kedua dibawa untuk diseksa. Mereka menguliti kepalanya lalu bertanya, “Mahukah engkau sekarang makan daging itu? Atau kaubiarkan kami memenggal tangan dan kakimu satu demi satu?”

8. Dia menjawab dalam bahasanya sendiri, “Tidak!” Oleh itu mereka menyeksa dia seperti yang pertama.

9. Tetapi sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia berkata kepada raja, “Penjahat! Memang tuanku dapat membunuh kami. Tetapi Raja semesta alam akan membangkitkan kami daripada kematian dan memberi kami kehidupan kekal, kerana kami mati demi hukum-hukum-Nya.”

10. Sesudah itu saudara yang ketiga diseksa. Ketika dia disuruh mengeluarkan lidahnya, dia cepat-cepat melakukannya. Lalu dengan berani dia menghulurkan tangannya,

11. dan tanpa gentar berkata, “Allah memberi tangan ini kepada saya. Tetapi hukum-hukum-Nya lebih berharga bagi saya daripada tangan ini. Saya tahu Allah akan mengembalikannya kepada saya.”

12. Raja dan semua pengiringnya hairan melihat keberanian orang itu dan kerelaannya untuk menderita.

13. Sesudah dia mati, mereka menyeksa saudara yang keempat dengan cara yang sama kejamnya.

14. Tetapi kata-katanya yang terakhir kepada raja berbunyi, “Saya rela mati kerana kami mempunyai harapan bahawa Allah akan membangkitkan kami daripada kematian. Tetapi bagi tuanku tak ada kebangkitan hidup kembali!”

15. Ketika saudara yang kelima dibawa untuk diseksa,

16. dia menatap raja dan berkata, “Tuanku berkuasa untuk berbuat sesuka hati dengan manusia, meskipun tuanku juga orang yang fana. Tetapi jangan sangka Allah sudah meninggalkan bangsa kami.

17. Tunggu sahaja, pasti tuanku akan menyaksikan kebesaran kekuasaan Tuhan. Dia akan menyeksa tuanku dan keturunan tuanku.”

18. Lalu saudara yang keenam dibawa untuk diseksa, dan sebelum mati dia berkata, “Jangan salah sangka. Kami menderita kerana kesalahan kami sendiri. Kami sudah berdosa terhadap Allah kami, dan kerana itu ditimpa malapetaka ini.

19. Tetapi jangan berfikir bahawa tuanku dapat melawan Allah tanpa dihukum.”

20. Yang paling mengagumkan adalah ibu mereka, dan dia patut diingati dengan hormatnya. Dia menyaksikan ketujuh-tujuh anaknya mati dalam waktu satu hari. Walaupun begitu, dia menanggungnya dengan hati yang tabah kerana dia menaruh harapan kepada Tuhan.

21. Dengan penuh keberanian dia memadukan rasa keibuan dengan semangat keberanian lelaki dan memberi semangat kepada anaknya masing-masing dalam bahasanya sendiri.

22. Katanya, “Aku tak tahu bagaimana kamu mula hidup di dalam kandunganku. Bukan aku yang memberi kamu nafas dan hidup atau menyusun setiap bahagian tubuh kamu,

23. melainkan Allah, Pencipta alam semesta, yang menjadikan umat manusia dan segala sesuatu yang ada. Dia berbelas kasihan dan akan mengembalikan hidup dan nafas kamu kepada kamu, kerana kamu mengutamakan hukum-hukum-Nya daripada diri kamu sendiri.”

24. Raja Antiokhus menyangka ibu itu menghina baginda. Oleh itu baginda berusaha untuk memujuk anaknya yang bongsu supaya meninggalkan adat istiadat nenek moyangnya. Raja berjanji dengan sumpah akan menjadikan anak itu orang kaya dan bahagia. Bahkan dia akan diberi jawatan yang terhormat dan dijadikan sahabat raja.

2 Makabe 7