2 Makabe 7:25-37 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

25. Tetapi anak itu tidak menghiraukan kata-kata raja. Maka Raja Antiokhus berusaha untuk memujuk ibunya supaya menasihati anaknya dan menyelamatkan hidupnya.

26. Sesudah didesak lama, dia bersetuju.

27. Dia membongkok kepada anaknya dan memperdayakan penguasa yang bengis itu dengan berkata dalam bahasanya sendiri, “Anakku, kasihanilah ibumu ini yang telah mengandung engkau selama sembilan bulan dan menyusui engkau selama tiga tahun. Aku juga sudah membesarkan dan memelihara engkau sehingga hari ini.

28. Jadi kumohon dengan sungguh-sungguh, hai anakku, pandanglah langit dan bumi serta segala isinya. Ingatlah bahawa Allah yang menjadikan semua itu daripada ketiadaan. Begitu juga dijadikan-Nya umat manusia.

29. Jangan takut kepada pembantai itu. Tunjukkanlah dirimu sebaik abang-abangmu dan terimalah maut dengan rela, supaya dengan belas kasihan Allah, aku mendapat engkau kembali bersama dengan abang-abangmu pada waktu kebangkitan.”

30. Belum selesai ibu itu bercakap, anaknya berkata, “Apa yang kamu tunggu? Saya tidak mentaati perintah raja. Saya hanya taat kepada ketetapan Taurat yang diberikan Musa kepada nenek moyang kami.

31. Tetapi tuanku yang sudah merancangkan segala macam malapetaka terhadap bangsa Ibrani, tak akan lepas daripada hukuman Allah.

32-33. Memang Tuhan yang hidup menyeksa kami kerana dosa-dosa kami untuk menegur dan memperbaiki kami. Tetapi kemurkaan-Nya tidak akan lama, oleh sebab kami ini hamba-hamba-Nya, dan Dia akan berdamai lagi dengan kami.

34. Tetapi tuanku yang paling keji dan paling jahat antara semua orang. Jadi jangan sia-sia menyombongkan diri atau menjadi angkuh dan tertipu dengan harapan yang tidak pasti, meskipun sekarang tuanku dapat menghukum hamba-hamba Allah.

35. Tuanku tak akan terlepas daripada pengadilan Allah Yang Maha Kuasa dan yang melihat segala-galanya.

36. Sesudah menderita untuk sementara, saudara-saudara kami sekarang hidup kekal kerana perjanjian Allah. Tetapi tuanku akan diadili-Nya dan diberi hukuman yang setimpal kerana kesombongan tuanku.

37. Seperti abang-abang saya, saya pun menyerahkan jiwa raga saya demi hukum-hukum nenek moyang kami. Tetapi saya juga memohon kepada Allah supaya Dia segera menunjukkan belas kasihan-Nya kepada bangsa kami, dan supaya Dia menyeksa tuanku sehingga tuanku mengakui bahawa Dialah Allah Yang Esa.

2 Makabe 7