2 Makabe 7:21-34 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

21. Dengan penuh keberanian dia memadukan rasa keibuan dengan semangat keberanian lelaki dan memberi semangat kepada anaknya masing-masing dalam bahasanya sendiri.

22. Katanya, “Aku tak tahu bagaimana kamu mula hidup di dalam kandunganku. Bukan aku yang memberi kamu nafas dan hidup atau menyusun setiap bahagian tubuh kamu,

23. melainkan Allah, Pencipta alam semesta, yang menjadikan umat manusia dan segala sesuatu yang ada. Dia berbelas kasihan dan akan mengembalikan hidup dan nafas kamu kepada kamu, kerana kamu mengutamakan hukum-hukum-Nya daripada diri kamu sendiri.”

24. Raja Antiokhus menyangka ibu itu menghina baginda. Oleh itu baginda berusaha untuk memujuk anaknya yang bongsu supaya meninggalkan adat istiadat nenek moyangnya. Raja berjanji dengan sumpah akan menjadikan anak itu orang kaya dan bahagia. Bahkan dia akan diberi jawatan yang terhormat dan dijadikan sahabat raja.

25. Tetapi anak itu tidak menghiraukan kata-kata raja. Maka Raja Antiokhus berusaha untuk memujuk ibunya supaya menasihati anaknya dan menyelamatkan hidupnya.

26. Sesudah didesak lama, dia bersetuju.

27. Dia membongkok kepada anaknya dan memperdayakan penguasa yang bengis itu dengan berkata dalam bahasanya sendiri, “Anakku, kasihanilah ibumu ini yang telah mengandung engkau selama sembilan bulan dan menyusui engkau selama tiga tahun. Aku juga sudah membesarkan dan memelihara engkau sehingga hari ini.

28. Jadi kumohon dengan sungguh-sungguh, hai anakku, pandanglah langit dan bumi serta segala isinya. Ingatlah bahawa Allah yang menjadikan semua itu daripada ketiadaan. Begitu juga dijadikan-Nya umat manusia.

29. Jangan takut kepada pembantai itu. Tunjukkanlah dirimu sebaik abang-abangmu dan terimalah maut dengan rela, supaya dengan belas kasihan Allah, aku mendapat engkau kembali bersama dengan abang-abangmu pada waktu kebangkitan.”

30. Belum selesai ibu itu bercakap, anaknya berkata, “Apa yang kamu tunggu? Saya tidak mentaati perintah raja. Saya hanya taat kepada ketetapan Taurat yang diberikan Musa kepada nenek moyang kami.

31. Tetapi tuanku yang sudah merancangkan segala macam malapetaka terhadap bangsa Ibrani, tak akan lepas daripada hukuman Allah.

32-33. Memang Tuhan yang hidup menyeksa kami kerana dosa-dosa kami untuk menegur dan memperbaiki kami. Tetapi kemurkaan-Nya tidak akan lama, oleh sebab kami ini hamba-hamba-Nya, dan Dia akan berdamai lagi dengan kami.

34. Tetapi tuanku yang paling keji dan paling jahat antara semua orang. Jadi jangan sia-sia menyombongkan diri atau menjadi angkuh dan tertipu dengan harapan yang tidak pasti, meskipun sekarang tuanku dapat menghukum hamba-hamba Allah.

2 Makabe 7