8. Kelakuannya yang jahat berakhir dengan nasib begini: Setelah dipenjarakan oleh Aretas, iaitu penguasa orang Arab, dia melarikan diri dari kota ke kota, dikejar-kejar oleh semua orang, dibenci sebagai pelanggar hukum, dianggap kejam sebagai pengkhianat bangsanya sendiri, dan akhirnya dibuang ke Mesir.
9. Kemudian dia pergi ke Yunani dengan harapan berlindungkan diri pada orang Sparta yang masih bersaudara dengan orang Yahudi. Akhirnya orang yang telah memaksa banyak orang sebangsanya lari dari negeri mereka, mati sebagai orang buruan di negeri asing.
10. Yason telah membunuh banyak orang dan membiarkan mayat mereka tidak dikuburkan. Sekarang dia sendiri tidak diratapi, tidak dikuburkan dan tidak mendapat tempat di makam nenek moyangnya.
11. Apabila Raja Antiokhus mendengar perihal semua yang terjadi di Yerusalem, baginda menyangka negeri Yudea sudah memberontak. Dengan sangat murka baginda meninggalkan Mesir dan merebut kota Yerusalem dengan serangan hebat.
12. Baginda memerintahkan askar-askar agar dengan tidak berbelas kasihan menumpas setiap orang yang dijumpai, dan membunuh sesiapa sahaja yang lari ke dalam rumah.
13. Semua orang dibunuh: laki-laki dan perempuan, anak-anak lelaki dan gadis-gadis, bahkan juga bayi-bayi.
14. Dalam waktu tiga hari, Yerusalem kehilangan 80,000 orang: 40,000 mati terbunuh dalam serangan itu dan tidak kurang pula yang dijual sebagai hamba.
15. Tetapi Raja Antiokhus masih belum puas, bahkan baginda berani masuk ke dalam Rumah Tuhan yang paling suci di seluruh dunia. Baginda dipimpin oleh Menelaus, orang yang telah berkhianat kepada hukum dan bangsanya.
16. Dengan tangan yang tercemar dan najis, baginda mengambil perabot-perabot yang suci dan merampas barang-barang yang dihadiahkan oleh raja-raja untuk menambah semarak dan keagungan Rumah Tuhan.
17. Raja Antiokhus berasa bangga sekali atas kemenangannya tanpa menyedari bahawa Yang Maha Kuasa membiarkan Rumah-Nya dicemarkan kerana dosa penduduk Yerusalem membuat Dia murka sebentar.