18. Jika penduduk kota itu tidak terseret dalam begitu banyak dosa, pastilah Raja Antiokhus dihalangi daripada melakukan hal senekad itu dan dihukum, sama seperti Heliodorus yang diutus oleh Raja Seleukus untuk memeriksa perbendaharaan.
19. Tuhan tidak memilih umat-Nya demi Rumah-Nya, tetapi membina Rumah-Nya demi umat-Nya.
20. Jadi Rumah Tuhan ikut ditimpa penderitaan umat, tetapi kemudian ikut juga mendapat kesejahteraan bersama-sama umat. Tuhan Yang Maha Kuasa dan Maha Besar meninggalkannya ketika Dia murka, tetapi memulihkan keagungannya ketika kemurkaan-Nya reda.
21. Raja Antiokhus mengangkut 61,200 kilogram perak dari Rumah Tuhan, dan pergi dengan segeranya ke Antiokhia. Oleh sebab sangat angkuh, baginda menyangka dapat menyuruh kapal-kapal belayar di darat, dan pasukan tentera berjalan kaki di laut.
22. Baginda melantik gabenor-gabenor untuk menindas rakyat. Filipus dari Frigia yang lebih biadab daripada Raja Antiokhus sendiri, dijadikan gabenor Yerusalem.
23. Andronikus dijadikan gabenor daerah Gerizim. Selain itu Menelaus juga memperlakukan bangsanya sendiri dengan lebih buruk daripada gabenor-gabenor itu, kerana dia sangat membenci orang Yahudi.
24. Raja Antiokhus mengirim Apolonius dengan tenteranya sebanyak 22,000 orang dari Misia, ke Yerusalem. Mereka diperintahkan untuk membunuh semua orang lelaki di kota itu dan menjual orang perempuan dan anak-anak.
25. Apolonius tiba di Yerusalem dan pura-pura bersikap damai. Dia menunggu hingga hari Sabat, dan apabila mendapati orang Yahudi mematuhi hari rehat mereka, dia menyuruh pasukannya mengadakan perarakan bersenjata.
26. Banyak orang datang ke situ untuk menonton perarakan. Tiba-tiba Apolonius memerintahkan pasukannya untuk membunuh setiap penonton itu. Pasukan itu mengelilingi kota dan membunuh banyak orang.
27. Tetapi Yudas Makabe bersama-sama lebih kurang sepuluh orang melarikan diri ke padang gurun dan hidup di sana seperti binatang liar. Mereka hanya makan tumbuh-tumbuhan supaya tidak menajiskan diri.