1. Sekitar waktu itu Raja Antiokhus yang Keempat bersiap-siap untuk menyerbu Mesir bagi kali kedua.
2. Hampir empat puluh hari lamanya orang di seluruh kota Yerusalem mendapat penglihatan tentang pasukan berkuda yang mengharungi udara. Para penunggang kuda itu berpakaian emas dan bersenjatakan tombak
3. serta pedang yang terhunus. Pasukan-pasukan itu saling berhadapan dan serang-menyerang. Perisai-perisai berbenturan, banyak tombak dan panah dilemparkan. Segala perlengkapan dan baju zirah keemasan berkilauan dalam sinar matahari.
4. Semua orang berdoa semoga penglihatan itu merupakan petanda baik.
5. Apabila khabar angin bahawa Raja Antiokhus telah mangkat tersiar, Yason mengumpulkan lebih daripada seribu orang dan dengan mendadak menyerang kota Yerusalem. Mereka menyerbu pasukan penjaga kota sehingga berundur, lalu mereka merebut kota itu. Menelaus melarikan diri ke kubu kota,
6. sedangkan Yason dan pasukannya dengan tidak mengenal belas kasihan memukul orang Yahudi, bangsa mereka sendiri. Yason tidak menyedari bahawa kemenangan terhadap bangsanya sendiri sebenarnya kekalahan yang paling besar. Dia menyangka kejayaannya itu kemenangan terhadap musuh, dan bukan suatu kekalahan bagi bangsanya sendiri.
7. Tetapi dia tidak berhasil merebut kekuasaan. Sebaliknya pengkhianatan itu akhirnya hanya membawa malu baginya, dan dia terpaksa lari kembali ke negeri Amon.
8. Kelakuannya yang jahat berakhir dengan nasib begini: Setelah dipenjarakan oleh Aretas, iaitu penguasa orang Arab, dia melarikan diri dari kota ke kota, dikejar-kejar oleh semua orang, dibenci sebagai pelanggar hukum, dianggap kejam sebagai pengkhianat bangsanya sendiri, dan akhirnya dibuang ke Mesir.
9. Kemudian dia pergi ke Yunani dengan harapan berlindungkan diri pada orang Sparta yang masih bersaudara dengan orang Yahudi. Akhirnya orang yang telah memaksa banyak orang sebangsanya lari dari negeri mereka, mati sebagai orang buruan di negeri asing.