2 Makabe 4:39-48 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

39. Sementara itu Lisimakhus dengan setahu Menelaus saudaranya, telah berkali-kali merompak barang suci di kota Yerusalem. Setelah khabar itu tersiar, rakyat berkumpul melawan Lisimakhus.

40. Oleh sebab rakyat yang sangat marah itu memberontak, Lisimakhus mengirim 3,000 orang bersenjata untuk menyerang mereka. Pasukan itu dipimpin oleh Auranus, seorang yang sudah lanjut usia tetapi sangat bodoh.

41. Ketika orang Yahudi yang berkumpul di halaman Rumah Tuhan melihat bahawa Lisimakhus akan menyerang mereka, maka mereka memungut batu atau potongan kayu dan ada pula yang mengeruk abu. Dalam keadaan yang kacau-bilau mereka melemparkan semuanya itu ke arah Lisimakhus dan pasukannya.

42. Banyak antara mereka luka-luka, beberapa orang mati dan yang lain melarikan diri. Lisimakhus sendiri, perompak Rumah Allah itu, dibunuh dekat dengan perbendaharaan.

43. Oleh sebab kejadian itu, Menelaus dihadapkan ke pengadilan.

44. Apabila raja datang ke kota Tirus, Majlis Tertinggi Yahudi di Yerusalem mengutus tiga orang untuk mendakwa Menelaus.

45. Tetapi apabila Menelaus menyedari bahawa dia kalah dalam perkara itu, dia menjanjikan banyak wang kepada Ptolemeus anak Dorimenes supaya dia memujuk hati raja untuk berpihak kepadanya.

46. Ptolemeus mengajak raja ke serambi seolah-olah mahu menyedut udara segar. Lalu dipujuknya raja untuk mengubah pendiriannya.

47. Maka Menelaus yang menjadi punca kesemua rusuhan itu dibebaskan daripada segala tuduhan, sedangkan ketiga-tiga orang utusan yang malang itu dijatuhkan hukuman mati. Padahal andaikata perkara itu dibentangkan di hadapan orang Skit yang kejam sekalipun, mereka akan dinyatakan tidak bersalah.

48. Ketiga-tiga orang itu telah membela kota Yerusalem dan penduduknya serta perabot-perabot suci dari Rumah Tuhan. Walaupun begitu, hukuman yang tidak adil itu segera dilaksanakan.

2 Makabe 4