31. Maka raja meninggalkan Andronikus seorang pegawai tinggi sebagai wakilnya, sedangkan baginda sendiri pergi dengan tergesa-gesa ke Kilikia untuk menenteramkan keadaan di situ.
32. Menelaus mengambil kesempatan itu untuk merompak beberapa buah perabot emas dari Rumah Tuhan. Sebahagian dihadiahkannya kepada Andronikus dan sebahagian lagi dijualnya di kota Tirus dan kota-kota di sekitarnya.
33. Apabila Onias mendengar hal itu dia mencari perlindungan di sebuah tempat suci di Dafne dekat dengan kota Antiokhia, dan dengan terang-terangan mengecam Menelaus.
34. Lalu Menelaus dengan diam-diam memujuk Andronikus untuk membunuh Onias. Maka Andronikus pergi menemui Onias. Dia bersalaman dengan Onias dan dengan tipu daya menjanjikan keselamatan kepadanya. Akhirnya Onias dapat dipujuk untuk meninggalkan tempat suci itu, walaupun dia berasa curiga. Tetapi pada saat itu juga Andronikus dengan serta-merta membunuh Onias tanpa mengendahkan keadilan.
35. Bukan sahaja bangsa Yahudi tetapi bangsa-bangsa lain pun marah dan gelisah kerana pembunuhan yang kejam itu.
36. Setelah raja kembali dari daerah Kilikia, beberapa orang Yahudi dari Antiokhia menghadap baginda dan mengadukan pembunuhan keji terhadap Onias. Beberapa orang Yunani yang benci akan kejahatan itu turut mengutuknya.
37. Raja Antiokhus berasa sangat sedih dan kasihan; baginda menangis mengenangkan mendiang Onias yang begitu bijaksana dan tertib hidupnya.
38. Lalu meledaklah kemurkaan baginda terhadap Andronikus. Dengan serta-merta pakaian kebesaran Andronikus ditanggalkan oleh baginda; jubahnya dikoyak, dan dia digiring berkeliling kota hingga ke tempat pembunuhan Onias. Di tempat itu juga pembunuh itu menjalani hukuman mati. Begitulah Tuhan membalas dia dengan hukuman yang setimpal.
39. Sementara itu Lisimakhus dengan setahu Menelaus saudaranya, telah berkali-kali merompak barang suci di kota Yerusalem. Setelah khabar itu tersiar, rakyat berkumpul melawan Lisimakhus.