2 Makabe 4:1-8 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Tetapi Simon, orang yang telah berkhianat terhadap tanah airnya dan yang memberitahu Apolonius tentang harta di dalam perbendaharaan, menuduh Onias bahawa Oniaslah yang memukul Heliodorus dan mendatangkan malapetaka itu.

2. Bahkan dia berani menuduh Onias sebagai pengkhianat negara. Padahal Onias sangat berjasa kepada Yerusalem. Dia telah melindungi orang sebangsanya dan berusaha keras supaya hukum-hukum ditaati.

3-4. Apolonius anak Menesteus, gabenor Siria Besar dan Fenisia, menyokong kejahatan-kejahatan yang dilakukan oleh Simon. Permusuhan antara Simon dan Onias menjadi-jadi, sehingga akhirnya seorang kepercayaan Simon melakukan beberapa pembunuhan. Onias menyedari bahawa keadaan itu mengancamnya,

5. maka dia pergi menghadap raja. Maksudnya bukan untuk mengadukan orang sebangsanya, tetapi untuk mengusahakan kesejahteraan bangsa Yahudi, baik umum mahupun perseorangan.

6. Dia menyedari bahawa tanpa penglibatan raja, tidak mungkin tercapai perdamaian dalam urusan negara, dan bahawa Simon akan terus melakukan kejahatan.

7. Setelah Raja Seleukus mangkat dan Antiokhus yang dikenali sebagai Epifanes menjadi raja, Yason adik Onias berusaha untuk merebut jawatan Imam Agung dengan memberi rasuah.

8. Dia menghadap raja dan menjanjikan 13,000 kilogram perak dan 2,700 kilogram lagi yang akan dibayar daripada sumber lain.

2 Makabe 4