1. Tetapi Simon, orang yang telah berkhianat terhadap tanah airnya dan yang memberitahu Apolonius tentang harta di dalam perbendaharaan, menuduh Onias bahawa Oniaslah yang memukul Heliodorus dan mendatangkan malapetaka itu.
2. Bahkan dia berani menuduh Onias sebagai pengkhianat negara. Padahal Onias sangat berjasa kepada Yerusalem. Dia telah melindungi orang sebangsanya dan berusaha keras supaya hukum-hukum ditaati.
5. maka dia pergi menghadap raja. Maksudnya bukan untuk mengadukan orang sebangsanya, tetapi untuk mengusahakan kesejahteraan bangsa Yahudi, baik umum mahupun perseorangan.
6. Dia menyedari bahawa tanpa penglibatan raja, tidak mungkin tercapai perdamaian dalam urusan negara, dan bahawa Simon akan terus melakukan kejahatan.
7. Setelah Raja Seleukus mangkat dan Antiokhus yang dikenali sebagai Epifanes menjadi raja, Yason adik Onias berusaha untuk merebut jawatan Imam Agung dengan memberi rasuah.
8. Dia menghadap raja dan menjanjikan 13,000 kilogram perak dan 2,700 kilogram lagi yang akan dibayar daripada sumber lain.
9. Selain itu dia berjanji akan membayar 5,000 kilogram perak jika diberi kuasa untuk mendirikan gelanggang olahraga sebagai tempat latihan bagi pemuda-pemuda, dan mendaftarkan orang Yerusalem sebagai penduduk kota Antiokhia.
10. Raja bersetuju dan segera sesudah Yason menjadi Imam Agung, dia menggunakan kekuasaannya untuk menyesuaikan penduduk Yerusalem kepada cara hidup orang Yunani.
11. Dia mulai dengan menghapuskan semua hak istimewa yang dianugerahkan raja-raja Siria dahulu kepada bangsa Yahudi melalui jasa Yohanes. Yohanes itu bapa Eupolemus yang diutus ke Roma untuk mengadakan persahabatan dan perikatan. Yason juga menghapuskan adat istiadat Yahudi dan memperkenalkan adat baru yang bertentangan dengan Taurat kita.