2 Makabe 3:26-40 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

26. Heliodorus juga melihat dua orang pemuda yang luar biasa kuatnya dan tampan. Pakaian mereka serba indah dan gemerlapan. Mereka berdiri di kiri kanannya dan memukulnya dengan tidak henti-hentinya.

27. Tiba-tiba Heliodorus pengsan dan jatuh ke tanah. Para pengawalnya membaringkan dia di atas sebuah usungan

28. dan membawa dia keluar. Orang ini hanya sebentar tadi masuk ke ruang perbendaharaan disertai banyak pengiring dan semua pengawal peribadinya, sekarang diusung keluar dalam keadaan tidak berdaya. Lalu mereka dengan terang-terangan mengakui kekuasaan Allah.

29. Sesudah tertimpa kekuasaan Allah, Heliodorus tertelentang sahaja. Dia tidak dapat bercakap dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh.

30. Sementara itu orang Yahudi memuji Tuhan kerana Dia telah menjaga kehormatan Rumah-Nya dengan cara yang ajaib. Rumah Tuhan yang tadinya diliputi suasana ketakutan dan kebingungan, sekarang penuh kegembiraan dan sukacita kerana Tuhan Yang Maha Kuasa telah menampakkan diri.

31. Beberapa orang pengiring Heliodorus segera memohonkan Imam Agung Onias berdoa agar Yang Maha Tinggi tidak mengambil nyawa tuan mereka yang hampir mati itu.

32. Maka Imam Agung mempersembahkan korban supaya Allah menyelamatkan Heliodorus, kerana dia takut raja akan menyangka bahawa peristiwa itu permainan jahat orang Yahudi.

33. Sementara Onias mempersembahkan korban, kedua-dua orang pemuda tadi dengan berpakaian seperti sebelumnya, menampakkan diri lagi kepada Heliodorus dan berkata, “Engkau harus sangat berterima kasih kepada Imam Agung, kerana demi dialah Tuhan telah menyelamatkan nyawamu.

34. Ingatlah bahawa yang menghukum engkau ialah Penguasa Syurga. Jadi beritahukanlah kekuasaan-Nya yang besar kepada semua orang.” Sesudah berkata begitu, dua orang pemuda itu menghilang.

35. Maka Heliodorus mempersembahkan korban dan membuat banyak janji kepada Tuhan yang telah menyelamatkan nyawanya. Lalu dia minta diri kepada Onias dan berangkat kembali bersama-sama pasukannya kepada raja.

36. Kepada semua orang dia menceritakan perbuatan-perbuatan Allah Yang Maha Besar, yang telah disaksikannya sendiri.

37. Ketika raja bertanya kepada Heliodorus siapa yang patut dikirim sekali lagi ke Yerusalem, dia menjawab,

38. “Kalau tuanku mempunyai musuh atau seorang yang berkhianat terhadap pemerintahan tuanku, baiklah tuanku mengutus dia ke sana. Dia tidak akan kembali tanpa diseksa, andaikata dia masih selamat, oleh sebab di kota itu benar-benar ada kuasa Allah.

39. Allah penguasa syurga yang mengawasi dan melindungi tempat itu. Siapa sahaja datang ke situ dengan maksud jahat, dipukul dan dibinasakan.”

40. Begitulah kisah tentang Heliodorus dan penyelamatan perbendaharaan Rumah Tuhan.

2 Makabe 3