2 Makabe 15:32-39 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

32. Lalu ditunjukkannya kepada mereka kepala Nikanor orang jahat itu, dan tangannya yang dengan bongkak diacungkan terhadap Rumah Allah Yang Maha Kuasa.

33. Dia mengerat lidah orang yang zalim itu, dan berkata bahawa dia akan memberikannya sedikit demi sedikit kepada burung-burung. Tangan Nikanor digantungkan di seberang Rumah Allah sebagai bukti kebodohan orang itu.

34. Kemudian semua orang yang hadir di situ menengadah ke syurga dan memuji Tuhan yang telah menampakkan diri-Nya dan menjaga kesucian Rumah-Nya.

35. Sesudah itu Yudas menggantungkan kepala Nikanor pada kubu supaya dapat dilihat oleh semua orang sebagai tanda bantuan Tuhan.

36. Lalu diputuskan dengan sebulat suara bahawa untuk selama-lamanya hari itu tidak dapat dilupakan, tetapi harus dirayakan setiap tahun pada hari sebelum Hari Mordekhai, iaitu tarikh tiga belas bulan dua belas, yang dalam bahasa Aram disebut bulan Adar.

37. Begitulah riwayat Nikanor. Sejak itu kota Yerusalem tetap menjadi milik orang Ibrani. Maka saya mengakhiri kisah saya di sini.

38. Kalau jalan ceritanya baik dan tepat, keinginan saya tercapai. Tetapi kalau hanya sedang-sedang dan kurang bermutu, memang sampai di situlah kemampuan saya.

39. Kita tahu bahawa tidak baik minum wain sahaja atau air sahaja. Sebaliknya, wain dicampur dengan air menjadi minuman lazat yang menambahkan nikmat. Begitu juga sebuah cerita yang baik kalau dikarang dengan baik menjadi kenikmatan bagi orang yang membacanya. Dengan ini tamatlah cerita saya

2 Makabe 15