23. Sekarang, ya Tuhan penguasa syurga, utuslah lagi malaikat-Mu yang baik untuk membuat musuh gempar ketakutan.
24. Dengan kuasa-Mu yang besar, binasakanlah orang itu yang sambil mengutuk Engkau datang menyerang umat pilihan-Mu.” Begitulah Yudas mengakhiri doanya.
25. Nikanor dan tenteranya maju diiringi bunyi trompet dan lagu-lagu kemenangan,
26. sedangkan Yudas dan anak buahnya menghadapi musuh dengan memohon pertolongan Allah.
27. Sambil bertempur dengan tangan dan berdoa dalam hati kepada Allah, mereka membunuh tidak kurang daripada 35,000 orang daripada pasukan musuh. Mereka sangat bersukacita kerana telah mendapat pertolongan Allah.
28. Sesudah pertempuran itu berakhir, mereka pulang dengan gembira. Mereka melihat Nikanor dengan perlengkapan senjatanya mati tergeletak di medan perang.
29. Lalu mereka bersorak beramai-ramai untuk memuji Tuhan dalam bahasa mereka sendiri.
30. Yudas Makabe, yang selalu berjuang dengan jiwa raganya bagi bangsanya, dan sejak kecil tidak pernah memadam cintanya untuk orang sebangsanya, memerintahkan supaya kepala dan lengan kanan Nikanor dipotong dan dibawa ke Yerusalem.
31. Apabila tiba di kota, dia menyuruh rakyat berkumpul dan menempatkan para imam di hadapan mazbah. Dia juga menyuruh supaya orang di kubu dipanggil.
32. Lalu ditunjukkannya kepada mereka kepala Nikanor orang jahat itu, dan tangannya yang dengan bongkak diacungkan terhadap Rumah Allah Yang Maha Kuasa.