2 Makabe 15:20-30 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

20. Setiap orang menantikan keputusan pertempuran itu. Pasukan-pasukan musuh sedang bergerak maju secara teratur dengan pasukan berkuda di kiri dan kanan serta gajah-gajah mereka di tempat-tempat yang paling strategik.

21. Yudas Makabe melihat pasukan musuh yang sangat banyak itu, senjata mereka yang serba lengkap dan gajah-gajah mereka yang garang. Lalu dia merentangkan tangannya ke syurga dan berdoa kepada Tuhan yang melakukan keajaiban-keajaiban, dan dia yakin bahawa Tuhan memberi kemenangan kepada orang yang layak, dan bukan kepada orang yang mempunyai tentera besar.

22. Inilah doa yang diucapkan Yudas, “Ya Tuhan, pada zaman Hizkia raja Yahudi, Engkau mengirim malaikat-Mu untuk menumpas 185,000 orang daripada pasukan Sanherib.

23. Sekarang, ya Tuhan penguasa syurga, utuslah lagi malaikat-Mu yang baik untuk membuat musuh gempar ketakutan.

24. Dengan kuasa-Mu yang besar, binasakanlah orang itu yang sambil mengutuk Engkau datang menyerang umat pilihan-Mu.” Begitulah Yudas mengakhiri doanya.

25. Nikanor dan tenteranya maju diiringi bunyi trompet dan lagu-lagu kemenangan,

26. sedangkan Yudas dan anak buahnya menghadapi musuh dengan memohon pertolongan Allah.

27. Sambil bertempur dengan tangan dan berdoa dalam hati kepada Allah, mereka membunuh tidak kurang daripada 35,000 orang daripada pasukan musuh. Mereka sangat bersukacita kerana telah mendapat pertolongan Allah.

28. Sesudah pertempuran itu berakhir, mereka pulang dengan gembira. Mereka melihat Nikanor dengan perlengkapan senjatanya mati tergeletak di medan perang.

29. Lalu mereka bersorak beramai-ramai untuk memuji Tuhan dalam bahasa mereka sendiri.

30. Yudas Makabe, yang selalu berjuang dengan jiwa raganya bagi bangsanya, dan sejak kecil tidak pernah memadam cintanya untuk orang sebangsanya, memerintahkan supaya kepala dan lengan kanan Nikanor dipotong dan dibawa ke Yerusalem.

2 Makabe 15