2 Makabe 14:27-33 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

27. Tuduhan-tuduhan palsu itu membuat raja murka. Dalam kemurkaannya, raja menulis kepada Nikanor bahawa baginda tidak puas hati dengan perjanjian itu. Nikanor diperintahkan untuk menangkap Yudas Makabe dan mengirimnya dengan segera ke Antiokhia.

28. Pesan itu membuat Nikanor bingung. Dia tidak sampai hati untuk membatalkan perjanjian itu kerana Yudas tidak berbuat apa-apa yang salah.

29. Oleh sebab tidak boleh mengingkar perintah raja, dia mencari kesempatan untuk menangkap Yudas dengan siasat.

30. Tetapi Yudas melihat bahawa Nikanor mula bersikap dingin terhadapnya dan mendekati dia dengan lebih kasar daripada biasa. Yudas tahu bahawa itu tanda yang buruk. Maka dia mengumpulkan sejumlah besar pengikutnya lalu bersembunyi daripada Nikanor.

31. Apabila Nikanor menyedari bahawa dia telah diperdaya oleh Yudas, dia pergi ke Rumah Tuhan yang agung pada saat imam-imam sedang mempersembahkan korban. Dia memerintahkan para imam untuk menyerahkan Yudas kepadanya.

32. Tetapi imam-imam itu dengan sumpah menyatakan bahawa mereka tidak tahu di mana dia.

33. Lalu Nikanor mengacungkan tangan kanannya ke arah Rumah Tuhan dan bersumpah, “Kalau kamu tidak menyerahkan Yudas dengan terbelenggu kepadaku, Rumah Tuhan ini akan kuratakan ke tanah, mazbah itu akan kubongkar, dan di tempat ini akan kudirikan sebuah kuil yang megah untuk Dewa Dionisius!”

2 Makabe 14