2 Makabe 14:14-20 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

14. Semua orang asing di Yudea yang sudah melarikan diri daripada serangan-serangan Yudas, sekarang berduyun-duyun bergabung dengan Nikanor, oleh sebab mereka berfikir apa sahaja yang merugikan atau mencelakakan orang Yahudi akan menguntungkan mereka sendiri.

15. Orang Yahudi mendengar bahawa Nikanor sedang datang menyerang mereka, dan bahawa orang asing ikut berkomplot. Maka mereka menaburi diri dengan tanah dan berdoa kepada Allah yang telah memilih bangsa mereka menjadi milik-Nya untuk selama-lamanya, dan yang selalu menolong mereka dengan nyata apabila mereka memerlukan pertolongan.

16. Lalu dengan perintah Yudas pemimpin mereka, mereka segera bertolak untuk menemui musuh dalam pertempuran dekat dengan kampung Desau.

17. Simon, saudara Yudas bertempur melawan Nikanor, tetapi dia berundur sebentar kerana gerakan tiba-tiba daripada pihak musuh.

18. Ketika Nikanor mendengar keperwiraan anak buah Yudas dan keberanian mereka dalam mempertahankan tanah air, dia memutuskan untuk menyelesaikan perkara itu bukan dengan pertempuran.

19. Oleh sebab itu diutusnya Posidonius, Teodotus, dan Matatias untuk membuat perjanjian perdamaian dengan orang Yahudi.

20. Sesudah syarat-syarat perjanjian itu dipertimbangkan dengan matangnya, panglima masing-masing mengumumkannya kepada seluruh pasukan dan mereka bersetuju dengan sebulat suara untuk berdamai.

2 Makabe 14