2 Makabe 13:18-26 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

18. Setelah mengalami perbuatan nekad orang Yahudi, Raja Antiokhus berusaha untuk membuat siasat yang lebih baik untuk menyerang beberapa buah tempat mereka.

19. Baginda maju menyerang Bet-Zur, kubu Yahudi yang sangat kukuh. Setelah dipukul mundur, baginda menyerang sekali lagi lalu dikalahkan.

20. Yudas mengirim segala yang diperlukan kepada orang di Bet-Zur.

21. Tetapi anak buah Yudas yang bernama Rodokus membocorkan rahsia-rahsia kepada musuh. Walau bagaimanapun, perbuatannya diketahui lalu dia ditangkap dan dibunuh.

22. Raja berusaha lagi untuk berunding dengan penduduk Bet-Zur, dan setelah tercapai persetujuan, baginda mengundurkan pasukan tenteranya.

23. Kemudian baginda pergi menyerang pasukan Yudas, tetapi dikalahkan. Sementara itu raja mendengar bahawa Filipus yang ditinggalkan di Antiokhia untuk menjaga hal ehwal negara, telah memberontak. Raja kehilangan akal sehingga baginda mula mengadakan perundingan perdamaian dengan orang Yahudi. Baginda menyetujui syarat-syarat mereka dan bersumpah akan memperlakukan mereka dengan adil, malahan raja mempersembahkan korban dan memberikan sumbangan yang besar untuk menghormati Rumah Tuhan, dan

24. menerima Yudas Makabe dengan ramah-tamah. Kemudian, raja melantik Hegemonides menjadi gabenor daerah dari kota Ptolemais hingga kota Gerar, dan

25. raja sendiri berangkat ke Ptolemais. Penduduk kota sangat marah kerana raja telah mengadakan persetujuan dengan orang Yahudi. Mereka menghendaki supaya perjanjian itu dibatalkan.

26. Tetapi Lisias, wali raja, berucap di hadapan umum dan sedapat-dapatnya membela perjanjian itu. Sesudah menenangkan semua orang itu dan meyakinkan mereka bahawa dia benar, maka pulanglah dia ke Antiokhia.Dengan demikian penyerbuan raja berakhir dengan pengunduran.

2 Makabe 13