1. Dalam tahun 149 Yudas Makabe dan pengikut-pengikutnya mendengar khabar bahawa Raja Antiokhus Eupator sedang menuju ke negeri Yudea dengan sebuah pasukan tentera yang besar.
10-11. Apabila mendengar hal itu, Yudas menyuruh rakyat berdoa siang dan malam kepada Tuhan, oleh sebab mereka terancam bahaya kehilangan Taurat, tanah air, dan Rumah Tuhan mereka. Lebih daripada yang sudah-sudah, mereka memerlukan pertolongan Tuhan supaya Dia tidak membiarkan umat-Nya yang baru sahaja bebas daripada penindasan, jatuh kembali ke tangan bangsa-bangsa asing yang tidak mengenal Tuhan.
12. Selama tiga hari seluruh rakyat berpuasa, dan dengan tidak henti-hentinya mereka bersujud sambil menangis dan memohon bantuan Tuhan yang berbelas kasihan. Kemudian Yudas mengucapkan kata-kata untuk menguatkan hati rakyat dan menyuruh mereka bersiap sedia di situ.
13. Selepas itu Yudas berunding dengan kaum tua-tua. Mereka memutuskan untuk keluar dan menyelesaikan perkara itu dengan pertolongan Tuhan, sebelum tentera raja masuk ke negeri Yudea dan menguasai kota Yerusalem.
14. Yudas menyerahkan keputusan perang itu kepada Pencipta alam semesta. Dia mengajak anak buahnya berjuang dengan gagah berani dan rela mati demi hukum, Rumah Allah, kota Yerusalem, tanah air, dan adat istiadat mereka. Lalu mereka pergi dan mendirikan perkhemahan mereka dekat dengan kota Modein.
15. Yudas memberikan semboyan ini kepada anak buahnya: “Kemenangan daripada Allah!” Malam itu Yudas dengan sepasukan orang muda yang paling berani menyerbu khemah raja dan membunuh 2,000 orang. Gajah yang paling besar berserta penjaganya juga dibunuh oleh mereka.
16-17. Akhirnya mereka menyebabkan semua orang di perkhemahan itu gempar ketakutan. Ketika fajar menyingsing, Yudas dan anak buahnya meninggalkan perkhemahan itu sebagai pemenang. Hal itu dapat dilakukan dengan pertolongan dan perlindungan Tuhan.