1. Dalam tahun 149 Yudas Makabe dan pengikut-pengikutnya mendengar khabar bahawa Raja Antiokhus Eupator sedang menuju ke negeri Yudea dengan sebuah pasukan tentera yang besar.
2. Dalam rombongan itu, turut bersama juga Lisias, wali raja, yang juga menjadi perdana menteri. Mereka mempunyai tentera Yunani yang terdiri daripada 110,000 orang pasukan tentera berjalan kaki; 5,300 orang pasukan tentera berkuda, 22 ekor gajah, dan 300 buah kereta kuda yang diperlengkapi dengan sabit pada rodanya.
3. Menelaus menggabungkan diri dengan mereka dan memujuk Raja Antiokhus, seolah-olah untuk kepentingan tanah airnya, tetapi sebenarnya dia berharap untuk dilantik menjadi Imam Agung.
4. Tetapi Allah, Raja segala raja, membangkitkan kemurkaan Raja Antiokhus terhadap Menelaus. Lisias mengemukakan bukti-bukti kepada Raja Antiokhus bahawa penjahat itu punca segala kekacauan. Maka Antiokhus memerintahkan supaya Menelaus dibawa ke kota Berea dan dibunuh menurut kebiasaan tempat itu.
5. Di kota itu ada sebuah menara yang tingginya kira-kira 25 meter. Menara itu penuh dengan abu. Di dalamnya ada sebuah alat yang berputar dan segala sudutnya jatuh miring ke arah abu.
6. Orang yang telah membuat pelanggaran terhadap tempat pemujaan atau melakukan kejahatan yang besar dinaikkan ke atas menara itu dan dijatuhkan ke dalam abu sehingga mati.
7. Menelaus yang jahat dihukum mati dengan cara itu dan malahan tidak dikuburkan.
8. Itu memang hukuman yang adil baginya, oleh sebab dia telah sering berdosa kerana mencemarkan abu yang suci dan api mazbah di Rumah Tuhan. Sekarang dia sendiri menemui ajalnya di dalam abu.
9. Penuh dengan keangkuhan, Raja Antiokhus terus maju untuk memperlakukan orang Yahudi dengan lebih kejam lagi daripada yang pernah dilakukan oleh ayahanda baginda.
10-11. Apabila mendengar hal itu, Yudas menyuruh rakyat berdoa siang dan malam kepada Tuhan, oleh sebab mereka terancam bahaya kehilangan Taurat, tanah air, dan Rumah Tuhan mereka. Lebih daripada yang sudah-sudah, mereka memerlukan pertolongan Tuhan supaya Dia tidak membiarkan umat-Nya yang baru sahaja bebas daripada penindasan, jatuh kembali ke tangan bangsa-bangsa asing yang tidak mengenal Tuhan.
12. Selama tiga hari seluruh rakyat berpuasa, dan dengan tidak henti-hentinya mereka bersujud sambil menangis dan memohon bantuan Tuhan yang berbelas kasihan. Kemudian Yudas mengucapkan kata-kata untuk menguatkan hati rakyat dan menyuruh mereka bersiap sedia di situ.
13. Selepas itu Yudas berunding dengan kaum tua-tua. Mereka memutuskan untuk keluar dan menyelesaikan perkara itu dengan pertolongan Tuhan, sebelum tentera raja masuk ke negeri Yudea dan menguasai kota Yerusalem.