4. Oleh sebab hal itu sudah diputuskan oleh seluruh penduduk kota, orang Yahudi menerima jemputan itu dengan baik, kerana mereka ingin berdamai dan sedikit pun tidak berasa curiga. Tetapi ketika mereka di laut penduduk Yope menenggelamkan semua orang Yahudi itu, yang berjumlah tidak kurang daripada dua ratus orang.
5. Sebaik sahaja Yudas mendengar perkara yang biadab terhadap orang sebangsanya itu, dia memberitahu anak buahnya.
6. Mereka berdoa kepada Allah, hakim yang adil, lalu maju melawan para pembunuh saudara-saudara mereka. Pada waktu malam mereka membakar pelabuhan dan semua perahu, dan menikam semua orang yang terdapat bersembunyi di sana.
7. Oleh sebab pintu-pintu gerbang kota terkunci, Yudas berundur. Tetapi dia bertekad untuk kembali lagi dan menumpas semua penduduk kota itu.
8. Yudas mendengar bahawa penduduk kota Yamnia juga bermaksud untuk membunuh orang Yahudi di kota itu.
9. Maka dia menyerbu kota itu pada waktu malam. Pelabuhan dan kapal-kapal yang ada di situ dibakarnya. Nyala apinya kelihatan hingga di Yerusalem, yang jauhnya lima puluh kilometer dari situ.