34. Dalam pertempuran itu beberapa orang Yahudi gugur.
35. Dositeus, askar berkuda yang gagah berani, anak buah Bakenor, menangkap Gorgias pada baju labuhnya, lalu menyeret dia dengan sekuat tenaga supaya dapat menangkap orang jahat itu hidup-hidup. Tetapi tiba-tiba seorang daripada pasukan berkuda Trakia menyerbu Dositeus dan memotong lengannya sehingga putus; maka Gorgias dapat melarikan diri ke kota Marisa.
36. Sementara itu orang Yahudi anak buah Esdris sudah terlalu lama bertempur, dan mereka keletihan. Maka berdoalah Yudas supaya Tuhan menunjukkan bahawa Dia berpihak pada mereka dan memimpin barisan mereka.
37. Kemudian apabila Yudas menyanyikan lagu-lagu pujian dalam bahasanya sendiri sebagai semboyan untuk bertempur, orang Yahudi dengan tiba-tiba menyerang pasukan Gorgias sehingga mereka melarikan diri.
38. Sesudah pertempuran itu Yudas membawa anak buahnya ke kota Adulam. Oleh sebab sudah hampir hari Sabat, mereka menyucikan diri menurut adat Yahudi, lalu merayakan hari Sabat.
39. Pada hari berikutnya, sebagaimana pada masa itu dipandang perlu, Yudas dan anak buahnya pergi mengumpulkan jenazah orang yang telah gugur dalam pertempuran untuk dikuburkan di perkuburan keluarga.
40. Tetapi tersembunyi di sebelah dalam pakaian setiap jenazah, mereka menemui azimat patung-patung kota Yamnia. Taurat Musa melarang orang Yahudi memakai azimat-azimat seperti itu. Maka menjadi jelas bagi setiap orang mengapa semua orang itu telah mati.
41. Lalu mereka memuji tindakan Tuhan, hakim yang adil, yang memperlihatkan apa yang tersembunyi.
42. Mereka juga mohon supaya dosa itu dihapuskan sama sekali. Lalu Yudas yang mulia itu, memperingatkan rakyat supaya menjauhi dosa, oleh sebab mereka sendiri telah melihat apa yang terjadi kepada orang yang telah berdosa itu.
43. Kemudian dia mengumpulkan sumbangan daripada anak buahnya, dan wang yang terkumpul seluruhnya berjumlah lima ratus keping wang perak. Wang itu dikirimnya ke Yerusalem untuk menyediakan korban untuk mengampunkan dosa. Yudas melakukan perbuatan yang luhur itu kerana dia percaya pada kebangkitan orang mati.
44. Jika dia tidak percaya bahawa orang mati akan bangkit semula, maka bodohlah dan sia-sialah untuk mendoakan mereka.
45. Yudas yakin bahawa orang yang salih akan menerima pahala yang indah dan fikirannya itu sungguh suci dan luhur. Oleh sebab itu dia mengadakan korban untuk mengampunkan dosa, supaya semua orang yang sudah mati itu dilepaskan daripada dosa mereka.