15. Tetapi orang Yahudi berdoa kepada Yang Maha Besar, Tuhan alam semesta, yang pada zaman Yosua menghancurkan tembok-tembok kota Yerikho tanpa alat pelempar atau kayu pelantak. Kemudian mereka seperti binatang buas, menyerbu tembok itu.
16. Oleh sebab kehendak Allah, kota itu dapat direbut oleh mereka. Mereka membinasakan banyak sekali orang, sehingga sebuah tasik dekat tempat itu, yang lebarnya setengah kilometer, nampaknya penuh darah.
17. Dari kota Kaspin, Yudas dan anak buahnya berjalan kira-kira seratus lima puluh kilometer ke Karaks, tempat tinggal orang Yahudi yang disebut kaum Tubian.
18. Mereka tidak menemukan Timotius di daerah itu, oleh sebab dia sudah pergi dari situ dengan tidak berjaya berbuat apa-apa. Tetapi dia meninggalkan tentera pendudukan yang sangat kuat di sebuah kubu.
19. Dua orang panglima Yudas, Dositeus dan Sosipater, menyerang kubu itu dan menumpas seluruh tentera pendudukan yang berjumlah lebih daripada 10,000 orang.
20. Kemudian Yudas membahagikan tenteranya kepada beberapa pasukan dan melantik Dositeus dan Sosipater supaya masing-masing mengetuai satu pasukan. Seterusnya dia maju untuk melawan Timotius yang mempunyai 120,000 orang pasukan tentera berjalan kaki dan 2,500 orang pasukan tentera berkuda.
21. Setelah diberitahukan bahawa Yudas sedang mendekat, Timotius mengirim kaum wanita, anak-anak dan barang-barangnya ke kota Karnaim. Kota itu sukar direbut, bahkan sukar didekati, kerana jalan ke situ melalui sela-sela yang sempit.
22. Tetapi apabila pasukan pertama Yudas muncul, tentera musuh menjadi gempar ketakutan kerana suatu penglihatan daripada Allah yang melihat segala sesuatu. Mereka lari hiruk-pikuk sehingga banyak antara mereka terluka kerana tertikam oleh hujung pedang kawan-kawan mereka sendiri.
23. Yudas dan anak buahnya mengejar mereka dengan giatnya dan membunuh sekurang-kurangnya 30,000 orang musuh.
24. Timotius sendiri ditangkap oleh pasukan Dositeus dan Sosipater. Tetapi Timotius sangat licik dan berjaya meyakinkan mereka untuk membiarkan dia pergi, oleh sebab banyak kerabat orang Yahudi menjadi tawanannya, dan mereka akan dibunuh kalau sesuatu menimpa dirinya.
25. Akhirnya demi keselamatan sanak saudara mereka, mereka melepaskan Timotius setelah dia memberi jaminan dan bersumpah akan memulangkan kerabat mereka dengan selamat.
26. Kemudian Yudas menyerang kota Karnaim serta kuil Dewi Atergatis dan membunuh 25,000 orang.
27. Sesudah mengalahkan dan menghancurkan musuh itu, Yudas menyerang Efron, sebuah kota berkubu, tempat Lisias dan orang dari berbagai-bagai bangsa menetap. Para pemuda yang gagah perkasa mengambil tempat di hadapan tembok kota dan melawan dengan beraninya, sementara di dalam kota itu terdapat banyak bekalan alat-alat perang dan senjata penggempur.
28. Tetapi orang Yahudi berdoa memohon pertolongan Tuhan, yang dengan kekuasaan-Nya mematahkan kekuatan musuh. Mereka berjaya merebut kota itu dan membunuh lebih kurang 25,000 orang.