1. Sesudah diadakan perjanjian perdamaian antara orang Yahudi dan orang Siria, Lisias kembali kepada raja, dan orang Yahudi kembali bercucuk tanam.
2. Tetapi beberapa orang penguasa tempatan, Timotius dan Apolonius anak Genaius dan juga Hieronimus dan Demofon serta Nikanor ketua pasukan Siprus, tidak mahu membiarkan orang Yahudi hidup dengan tenteram.
3. Kira-kira pada waktu itu penduduk Yope melakukan perbuatan yang zalim terhadap orang Yahudi di kota itu. Mereka berpura-pura bersikap ramah-tamah dan menjemput semua orang Yahudi bersama dengan keluarga mereka untuk belayar dengan perahu-perahu yang disediakan oleh mereka.
4. Oleh sebab hal itu sudah diputuskan oleh seluruh penduduk kota, orang Yahudi menerima jemputan itu dengan baik, kerana mereka ingin berdamai dan sedikit pun tidak berasa curiga. Tetapi ketika mereka di laut penduduk Yope menenggelamkan semua orang Yahudi itu, yang berjumlah tidak kurang daripada dua ratus orang.
5. Sebaik sahaja Yudas mendengar perkara yang biadab terhadap orang sebangsanya itu, dia memberitahu anak buahnya.
6. Mereka berdoa kepada Allah, hakim yang adil, lalu maju melawan para pembunuh saudara-saudara mereka. Pada waktu malam mereka membakar pelabuhan dan semua perahu, dan menikam semua orang yang terdapat bersembunyi di sana.