2 Makabe 11:26-38 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

26. Sila kirimkan utusan kepada mereka dan berdamailah dengan mereka, supaya mereka mengetahui pendirian beta dan menjadi tenang, serta menguruskan hal-hal mereka sendiri dengan senang hati.”

27. Beginilah bunyi surat raja kepada bangsa Yahudi:“Daripada Raja Antiokhus kepada para pemimpin bangsa Yahudi dan seluruh rakyat Yahudi, salam!

28. Beta berharap kamu sekalian sihat walafiat. Beta sendiri dalam keadaan sihat.

29. Menelaus memberitahu beta bahawa kamu ingin pulang dan menguruskan hal-hal kamu.

30. Maka mereka yang pulang sebelum tarikh tiga puluh bulan Ksantikus, mendapat izin dan restu beta.

31. Kamu boleh mengikuti peraturan-peraturan sendiri tentang makanan dan hukum-hukum lainnya seperti dahulu. Tidak seorang pun akan dihukum kerana kesalahan yang tidak disengaja.

32. Beta mengirim Menelaus untuk menenteramkan fikiran kamu.

33. Selamat sejahtera! Tarikh lima belas bulan Ksantikus tahun 148.”

34. Orang Roma pun mengirim surat kepada orang Yahudi. Beginilah bunyi surat itu:“Daripada Kwintus Memius dan Titus Manius, utusan-utusan orang Roma, kepada rakyat Yahudi, salam!

35. Kami juga bersetuju dengan apa yang disetujui Lisias, kerabat raja untuk saudara-saudara.

36. Sekarang kami dalam perjalanan ke kota Antiokhia. Kami ingin mengusahakan kepentingan saudara-saudara di hadapan raja. Maka pertimbangkanlah perkara-perkara yang dikemukakan oleh Lisias kepada raja, dan kirimlah utusan dengan secepat mungkin

37. tanpa menunda-nunda, supaya kami tahu keputusan saudara-saudara.

38. Selamat sejahtera! Tarikh lima belas bulan Ksantikus tahun 148.”

2 Makabe 11