28. Sesudah fajar menyingsing, kedua-dua pasukan itu saling menyerbu. Untuk mencapai kemenangan, tentera Yahudi mempercayakan keberanian mereka dan menaruh harapan mereka kepada Tuhan, sedangkan musuh membiarkan diri dipimpin oleh rasa kemarahan mereka dalam pertempuran.
29. Ketika pertempuran itu menjadi hangat, tampaklah oleh musuh lima orang yang gemilang turun dari langit. Mereka menunggang kuda dengan kekang emas. Kelima-lima orang itu memimpin pasukan Yahudi
30. dan mengelilingi Yudas untuk melindungi dia dengan perlengkapan senjata mereka. Sementara itu mereka menghujani musuh dengan anak panah dan kilat. Musuh menjadi bingung dan hilang akal, sehingga mereka tercerai-cerai dalam keadaan kacau-bilau.
31. Pasukan tentera berjalan kaki sebanyak 20,000 orang dan pasukan tentera berkuda sebanyak 600 orang dibunuh.
32. Tetapi Timotius sendiri melarikan diri ke Gezer, sebuah kubu yang sangat kukuh. Kaireas, saudaranya ialah komandan di kubu itu.
33. Pasukan Yudas dengan penuh semangat mengepung kubu itu selama empat hari.
34. Orang di dalam kubu menaruh kepercayaan kepada kekukuhan tempat mereka dan terus meneriakkan kata-kata kasar mengutuk Allah dan orang Yahudi.
35. Pada waktu fajar hari yang kelima, dua puluh orang anak buah Yudas yang berkobar-kobar dengan kemarahan kerana kata-kata kutukan itu, dengan beraninya menyerbu tembok. Mereka mengamuk seperti binatang buas dan dengan pedang membunuh sesiapa sahaja yang dijumpai oleh mereka.
36. Begitu juga beberapa orang naik ke atas tembok dari arah yang lain dan menyerang orang yang ada di dalam. Mereka membakar beberapa buah menara, menyalakan api dan membakar hidup-hidup orang yang mengkufuri Tuhan. Beberapa orang lain memecah pintu-pintu gerbang, sehingga membolehkan anak buah Yudas yang selebihnya masuk dan merebut kota.
37. Timotius bersembunyi di sebuah perigi kering, tetapi dia dibunuh bersama dengan Kaireas saudaranya dan Apolofanes.
38. Sesudah pertempuran selesai, orang Yahudi mengadakan perayaan dengan menyanyikan puji-pujian dan lagu-lagu syukur bagi Tuhan kerana Dia telah menunjukkan kebaikan-Nya yang besar dan memberikan mereka kemenangan.