2 Makabe 10:16-29 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

16. Oleh sebab itu Yudas Makabe dan pengikut-pengikutnya, setelah berdoa memohon pertolongan Tuhan, menyerbu kubu-kubu orang Idumea.

17. Mereka melancarkan serangan hebat, memukul mundur orang yang mempertahankan tembok, lalu merebut kubu-kubu itu dengan membunuh sesiapa sahaja yang jatuh ke tangan mereka. Dengan demikian mereka menumpas tidak kurang daripada 20,000 orang.

18. Tetapi lebih kurang 9,000 orang musuh melarikan diri ke dalam dua buah kubu yang sangat kuat dan mempunyai segala yang diperlukan untuk menghadapi pengepungan.

19. Yudas sendiri terpaksa pergi ke tempat-tempat lain yang lebih memerlukan bantuannya. Maka ditinggalkannya Simon dan Yusuf serta Zakheus dan anak buahnya. Pasukan itu cukup besar untuk meneruskan pengepungan.

20. Tetapi beberapa orang anak buah Simon berasa tamak, dan apabila menerima wang rasuah sebanyak 200 kilogram perak, mereka membiarkan beberapa orang musuh melepaskan diri dari kubu-kubu itu.

21. Apabila mendengar hal itu, Yudas mengumpulkan para pemimpin pasukannya dan menuduh semua orang itu menjual saudara-saudara mereka dengan membebaskan musuh untuk memerangi mereka.

22. Dia memberi perintah supaya para pengkhianat itu dibunuh, dan seterusnya kedua-dua buah kubu itu ditawannya.

23. Yudas yang selalu berjaya dalam pertempuran, membunuh lebih daripada 20,000 orang di dalam kedua-dua buah kubu itu.

24. Timotius yang pernah dikalahkan oleh orang Yahudi, telah membentuk satu pasukan yang sangat besar, yang terdiri daripada askar-askar upahan. Dia juga mengumpulkan sejumlah besar tentera berkuda dari Asia. Lalu dia maju hendak merebut Yudea dengan kekuatan senjata.

25. Apabila tentera musuh sudah mendekati, Yudas dan pasukannya berdoa kepada Allah dengan memakai kain guni dan menabur debu di atas kepala mereka.

26. Mereka sujud di kaki mazbah dan memohon supaya Allah mengasihani mereka dengan melawan musuh-musuh mereka sebagaimana Dia telah menjanjikannya dalam Taurat-Nya.

27. Setelah berdoa, mereka mengangkat senjata dan pergi agak jauh dari Yerusalem, dan mereka berhenti apabila sudah dekat dengan musuh.

28. Sesudah fajar menyingsing, kedua-dua pasukan itu saling menyerbu. Untuk mencapai kemenangan, tentera Yahudi mempercayakan keberanian mereka dan menaruh harapan mereka kepada Tuhan, sedangkan musuh membiarkan diri dipimpin oleh rasa kemarahan mereka dalam pertempuran.

29. Ketika pertempuran itu menjadi hangat, tampaklah oleh musuh lima orang yang gemilang turun dari langit. Mereka menunggang kuda dengan kekang emas. Kelima-lima orang itu memimpin pasukan Yahudi

2 Makabe 10