15. Selain itu orang Idumea juga menguasai kubu-kubu yang penting dan terus-menerus mengganggu orang Yahudi. Mereka menampung orang pelarian dari Yerusalem dan terus berusaha untuk mengobarkan peperangan.
16. Oleh sebab itu Yudas Makabe dan pengikut-pengikutnya, setelah berdoa memohon pertolongan Tuhan, menyerbu kubu-kubu orang Idumea.
17. Mereka melancarkan serangan hebat, memukul mundur orang yang mempertahankan tembok, lalu merebut kubu-kubu itu dengan membunuh sesiapa sahaja yang jatuh ke tangan mereka. Dengan demikian mereka menumpas tidak kurang daripada 20,000 orang.
18. Tetapi lebih kurang 9,000 orang musuh melarikan diri ke dalam dua buah kubu yang sangat kuat dan mempunyai segala yang diperlukan untuk menghadapi pengepungan.
19. Yudas sendiri terpaksa pergi ke tempat-tempat lain yang lebih memerlukan bantuannya. Maka ditinggalkannya Simon dan Yusuf serta Zakheus dan anak buahnya. Pasukan itu cukup besar untuk meneruskan pengepungan.
20. Tetapi beberapa orang anak buah Simon berasa tamak, dan apabila menerima wang rasuah sebanyak 200 kilogram perak, mereka membiarkan beberapa orang musuh melepaskan diri dari kubu-kubu itu.
21. Apabila mendengar hal itu, Yudas mengumpulkan para pemimpin pasukannya dan menuduh semua orang itu menjual saudara-saudara mereka dengan membebaskan musuh untuk memerangi mereka.
22. Dia memberi perintah supaya para pengkhianat itu dibunuh, dan seterusnya kedua-dua buah kubu itu ditawannya.
23. Yudas yang selalu berjaya dalam pertempuran, membunuh lebih daripada 20,000 orang di dalam kedua-dua buah kubu itu.
24. Timotius yang pernah dikalahkan oleh orang Yahudi, telah membentuk satu pasukan yang sangat besar, yang terdiri daripada askar-askar upahan. Dia juga mengumpulkan sejumlah besar tentera berkuda dari Asia. Lalu dia maju hendak merebut Yudea dengan kekuatan senjata.