2 Makabe 10:1-10 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Dengan pimpinan Tuhan, Yudas Makabe dan para pengikutnya merebut Rumah Allah dan kota Yerusalem semula.

2. Mereka membongkar mazbah-mazbah yang telah dibuat oleh orang asing di lapangan awam dan menghancurkan tempat-tempat pemujaan lain.

3. Kemudian mereka menyucikan Rumah Tuhan dan mendirikan sebuah mazbah baru. Mereka membuat api dengan batu dan mempersembahkan korban untuk pertama kalinya sesudah dua tahun. Mereka juga membakar kemenyan, menyalakan pelita-pelita dan menaruh roti sajian.

4. Sesudah itu mereka sujud dan berdoa kepada Tuhan supaya mereka tidak lagi ditimpa malapetaka seperti yang lalu. Mereka memohon supaya Tuhan menghukum mereka dengan murah hati kalau mereka berdosa lagi, dan tidak menyerahkan mereka kepada orang asing yang biadab dan suka mengutuk.

5. Pada tarikh dua puluh lima bulan Kislew Rumah Tuhan disucikan semula, tepat pada tarikh dan bulan yang sama ketika Rumah itu dicemarkan oleh orang asing.

6. Lalu diadakan perayaan gembira selama lapan hari seperti Perayaan Pondok Daun. Mereka mengingat kembali bagaimana pada waktu Perayaan Pondok Daun tidak lama dahulu, mereka mengembara di pergunungan dan tinggal di gua seperti binatang liar.

7. Tetapi sekarang mereka berarak dengan membawa dahan cemara dan ranting-ranting hijau dan daun palma, sambil menyanyikan lagu-lagu pujian bagi Tuhan yang menyucikan Rumah-Nya semula.

8. Lalu mereka dengan sebulat suara memutuskan bahawa setiap tahun, hari itu harus dirayakan oleh seluruh bangsa Yahudi.

9. Begitulah yang terjadi pada saat-saat akhir hayat Raja Antiokhus Epifanes.

10. Sekarang kami menceritakan tentang Raja Antiokhus Eupator, putera Raja Antiokhus Epifanes, penjahat itu, dan kami memberikan ringkasan tentang malapetaka yang disebabkan oleh segala peperangan baginda.

2 Makabe 10