2 Makabe 1:27-36 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

27. Bebaskanlah bangsa kami yang menjadi hamba di negeri-negeri asing dan kumpulkanlah semula orang sebangsa kami yang tercerai-cerai. Kasihanilah bangsa kami yang dihina dan diperlakukan dengan kejam. Maka bangsa-bangsa lain akan tahu bahawa Engkau Allah kami.

28. Hukumlah bangsa-bangsa yang sombong dan ganas yang telah menindas kami.

29. Buatlah umat-Mu menetap di negeri-Mu yang suci sebagaimana yang dikatakan Musa.’

30. Kemudian imam-imam menyanyikan lagu-lagu pujian.

31. Sesudah korban habis terbakar, Nehemia menyuruh supaya sisa cairan itu dituangkan ke atas beberapa buah batu besar.

32. Seketika itu juga api berkobar, tetapi api itu padam apabila nyala api memantul dari mazbah.

33. Berita itu tersiar ke merata-rata tempat, dan raja Persia diberitahu bahawa suatu cairan telah ditemui di tempat imam-imam menyembunyikan api mazbah sebelum mereka diangkut ke tempat pembuangan, dan bahawa Nehemia serta kawan-kawannya telah menggunakan cairan itu untuk membakar korban di mazbah.

34. Setelah peristiwa itu diselidiki, raja memerintahkan supaya tempat itu dipagar dan diisytiharkan suci.

35. Tempat itu dipercayakan kepada beberapa orang oleh raja, dan baginda memberikan mereka sebahagian daripada keuntungan besar yang diperolehi dari tempat itu.

36. Nehemia dan kawan-kawannya menamakan air itu ‘naftar’, yang bererti penyucian, tetapi kebanyakan orang menyebutnya ‘naftai’.

2 Makabe 1