16. Lalu dari pintu rahsia di loteng, mereka melempari raja dan sahabat-sahabat raja dengan batu sehingga mati. Mayat mereka dicincang dan kepala mereka dilemparkan kepada orang di luar.”
17. Terpujilah Allah kita kerana Dia telah menghukum semua orang jahat itu. Terpujilah Dia kerana segala-galanya.
18. Pada tarikh dua puluh lima bulan Kislew, kami akan merayakan Perayaan Pentahbisan Semula Rumah Tuhan. Kami berasa perlu untuk mengingatkan kamu akan hal itu, supaya kamu pun merayakannya seperti kamu merayakan Hari Raya Pondok Daun dan Pesta Api. Pesta Api itu mengingatkan peristiwa ketika Nehemia mempersembahkan korban sesudah Rumah Tuhan dan mazbah dibina semula.
19. Tentang api itu, ada cerita sebagai berikut: Pada waktu nenek moyang kita diangkut ke negeri Persia, beberapa orang imam yang salih diam-diam mengambil sedikit api dari mazbah, lalu menyembunyikannya di dasar sebuah perigi yang kering. Api itu disembunyikan begitu baik, sehingga tempatnya tidak diketahui sesiapa pun.
20. Bertahun-tahun kemudian, ketika Tuhan berkenan, raja Persia mengirim Nehemia kembali ke Yerusalem. Lalu Nehemia menyuruh keturunan imam-imam yang dahulu menyembunyikan api itu untuk mencarinya.
21. Mereka memberitahu kami bahawa mereka tidak menemukan api, melainkan hanya sedikit cairan berminyak. Nehemia menyuruh mereka mengambil dan membawa cairan itu kepadanya. Selepas seluruh korban diletakkan di atas mazbah, dia menyuruh imam-imam memercikkan cairan itu ke atas kayu dan korban.
22. Sesudah hal itu dilakukan, dan beberapa saat kemudian matahari muncul dari balik awan, tiba-tiba api yang besar menyala sehingga semua orang kehairanan.
23. Lalu, sementara korban itu dimakan api, Imam Agung Yonatan menyampaikan doa, diikuti oleh Nehemia dan para imam serta semua orang lain di situ.
24. Nehemia berdoa begini, ‘Ya Tuhan Allah, Pencipta segala sesuatu, Engkau mengagumkan dan kuat, adil dan berbelas kasihan. Hanya Engkau Raja, hanya Engkau baik,
25. hanya Engkau yang adil dan murah hati. Engkau Maha Kuasa dan Kekal, yang menyelamatkan Israel daripada segala kesukaran. Engkau yang mengkhususkan nenek moyang kami menjadi orang pilihan-Mu.
26. Terimalah korban ini yang kami persembahkan untuk seluruh Israel. Lindungilah umat pilihan-Mu dan sucikanlah kami.
27. Bebaskanlah bangsa kami yang menjadi hamba di negeri-negeri asing dan kumpulkanlah semula orang sebangsa kami yang tercerai-cerai. Kasihanilah bangsa kami yang dihina dan diperlakukan dengan kejam. Maka bangsa-bangsa lain akan tahu bahawa Engkau Allah kami.