16. Segala sesuatu di dunia ini, iaitu yang diingini oleh keinginan hati orang berdosa, dan yang dilihat lalu dikehendaki, serta yang dibangga-banggakan, semuanya tidak berasal daripada Bapa, tetapi dari dunia.
17. Dunia dan segala sesuatu di dunia yang diingini oleh manusia tidak kekal. Tetapi orang yang melakukan kehendak Allah, akan hidup selama-lamanya.
18. Anak-anakku, akhir zaman sudah dekat! Kamu diberitahu bahawa Musuh Kristus akan datang. Sekarang banyak orang yang memusuhi Kristus telah muncul. Oleh itu kita tahu bahawa akhir zaman sudah dekat.
19. Musuh-musuh Kristus itu sebenarnya tidak termasuk dalam golongan kita, itulah sebabnya mereka meninggalkan kita. Jika mereka termasuk dalam golongan kita, tentu mereka tetap bersama-sama kita. Tetapi mereka meninggalkan kita, supaya nyata bahawa tidak seorang pun antara mereka yang benar-benar termasuk dalam golongan kita.
20. Tetapi kamu sudah menerima Roh Allah yang dicurahkan oleh Kristus. Itulah sebabnya kamu semua mengenal ajaran yang benar.