1 Tawarikh 23:10-11-27 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

2. Raja Daud mengumpulkan semua pemimpin Israel, imam, dan orang Lewi,

3. lalu membanci semua orang lelaki suku Lewi yang berumur tiga puluh tahun ke atas. Jumlah mereka 38,000 orang.

4. Kemudian 24,000 orang antara mereka ditugaskan oleh Raja Daud untuk mengurus pekerjaan di Rumah TUHAN, 6,000 orang untuk mengurus pentadbiran dan mengadili perselisihan,

5. 4,000 orang sebagai pengawal, dan 4,000 orang untuk memuji TUHAN dengan alat-alat muzik yang disediakan oleh raja.

6. Raja Daud membahagikan orang Lewi kepada tiga kumpulan menurut puak mereka: Gerson, Kehat, dan Merari.

7. Gerson mempunyai dua orang anak lelaki, iaitu Ladan dan Simei.

8. Ladan mempunyai tiga orang anak lelaki: Yehiel, Zetam, dan Yoel.

9. Mereka ketua puak keturunan Ladan. (Simei mempunyai tiga orang anak lelaki: Selomit, Haziel, dan Haran.)

10-11. Empat orang anak lelaki Simei menurut urutan umur mereka ialah Yahat, Zina, Yeus, dan Beria. Keturunan Yeus dan Beria tidak banyak, maka mereka dianggap satu puak.

12. Kehat mempunyai empat orang anak lelaki: Amram, Yizhar, Hebron, dan Uziel.

13. Anak sulung Kehat, iaitu Amram, ialah bapa Harun dan Musa. (Untuk selama-lamanya, Harun dan keturunannya telah dikhaskan untuk mengurus peralatan ibadat, membakar kemenyan bagi TUHAN, mengabdikan diri kepada-Nya, dan memberkati rakyat dengan nama TUHAN.

14. Anak-anak lelaki Musa, hamba Allah itu, tergolong kepada suku Lewi.)

15. Musa mempunyai dua orang anak lelaki, Gersom dan Eliezer.

16. Orang yang menjadi pemimpin antara anak-anak Gersom ialah Sebuel.

17. Eliezer hanya mempunyai seorang anak lelaki, iaitu Rehabya, tetapi Rehabya mempunyai banyak sekali anak.

18. Yizhar, anak lelaki Kehat yang kedua, mempunyai seorang anak lelaki bernama Selomit, yang menjadi ketua puak.

19. Hebron, anak lelaki Kehat yang ketiga, mempunyai empat orang anak lelaki: Yeria, Amarya, Yahaziel, dan Yekameam.

20. Uziel, anak lelaki Kehat yang keempat, mempunyai dua orang anak lelaki, Mikha dan Yisia.

21. Merari mempunyai dua orang anak lelaki, Mahli dan Musi. Mahli juga mempunyai dua orang anak lelaki, Eleazar dan Kish,

22. tetapi Eleazar mati tanpa mempunyai anak lelaki; dia hanya mempunyai anak-anak perempuan. Anak-anak perempuannya itu berkahwin dengan saudara-saudara sepupu mereka, iaitu anak-anak lelaki Kish.

23. Musi, anak lelaki Merari yang kedua, mempunyai tiga orang anak lelaki: Mahli, Eder, dan Yeremot.

24. Itulah nama-nama keturunan Lewi yang tercatat menurut nama ketua puak dan keluarga masing-masing. Mereka berumur dua puluh tahun ke atas dan mendapat tugas di Rumah TUHAN.

25. Raja Daud bertitah, “TUHAN Allah Israel, telah memberikan keamanan kepada umat-Nya, dan Dia sendiri tinggal di Yerusalem untuk selama-lamanya.

26. Oleh itu tidak perlu lagi orang Lewi memikul Khemah TUHAN dan semua perkakas yang digunakan untuk ibadat.”

27. Berdasarkan perintah-perintah terakhir daripada Raja Daud, semua orang Lewi harus didaftarkan untuk bertugas apabila berumur dua puluh tahun.

1 Tawarikh 23