1 Tawarikh 22:5-10 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

5. Raja Daud melakukan semuanya kerana baginda berfikir begini, “Aku harus menyediakan apa yang diperlukan untuk pembinaan Rumah TUHAN. Salomo, puteraku masih muda dan kurang pengalaman, sedangkan Rumah TUHAN yang akan dibina itu harus sangat indah dan termasyhur di seluruh dunia.” Oleh itu sebelum Raja Daud mangkat, baginda menyediakan banyak sekali bahan binaan.

6. Raja Daud memanggil Salomo, putera baginda dan memerintah dia untuk membina sebuah rumah bagi TUHAN Allah yang disembah umat Israel.

7. Raja Daud bertitah kepada Salomo, “Hai putera beta, telah lama beta berniat membina sebuah rumah untuk menghormati TUHAN Allah beta.

8. Tetapi TUHAN berfirman bahawa beta terlalu sering bertempur dan telah membunuh banyak orang. Oleh itu Dia tidak membenarkan beta membina rumah untuk-Nya.

9. Meskipun begitu Dia telah berjanji kepada beta. Firman-Nya, ‘Engkau akan mendapat seorang anak lelaki, dan dia akan memerintah dengan aman kerana Aku akan menolong dia sehingga tiada musuh yang memerangi dia. Dia akan dinamakan Salomo, kerana pada zaman pemerintahannya, Aku akan membuat Israel aman dan tenteram.

10. Anakmu itu akan membina rumah untuk-Ku. Dia akan menjadi anak-Ku dan Aku menjadi Bapanya. Takhta kerajaan Israel akan tetap pada keturunannya sampai selama-lamanya.’ ”

1 Tawarikh 22