3. Yoab menjawab, “Semoga TUHAN melipatgandakan bilangan rakyat Israel sampai seratus kali ganda daripada bilangan yang ada sekarang ini. Tuanku, tidakkah jelas bahawa mereka takluk kepada tuanku? Mengapa harus mengadakan pembancian? Nanti, kerana kesalahan itu, segenap bangsa akan menanggung akibatnya!”
4. Namun raja tetap berpegang pada perintahnya, maka Yoab pergi ke seluruh pelosok Israel, kemudian kembali ke Yerusalem.
5. Yoab melaporkan hasil pembancian itu kepada Raja Daud. Jumlah lelaki yang memenuhi syarat untuk masuk tentera adalah 1,100,000 orang di Israel dan 470,000 orang di Yehuda.
6. Tetapi suku Lewi dan suku Benyamin tidak termasuk jumlah itu. Yoab tidak membanci mereka kerana dia tidak bersetuju dengan perintah raja itu.
7. Allah murka kerana apa yang telah berlaku, maka Dia menghukum orang Israel.
8. Kemudian Raja Daud berdoa kepada Allah, “Ya Allah, aku sudah melakukan dosa besar! Ampunilah aku, kerana tindakanku itu sangat bodoh.”
9. Kemudian TUHAN berfirman kepada Gad, nabi yang berkhidmat kepada Raja Daud,
10. “Pergilah beritahu Raja Daud bahawa Aku memberi dia tiga pilihan. Apa sahaja yang dipilihnya akan Kulakukan.”
11. Gad menghadap Raja Daud dan menyampaikan firman TUHAN itu, katanya, “Yang mana satu pilihan tuanku?
12. Negeri ini ditimpa bencana kebuluran selama tiga tahun, atau tuanku lari dikejar musuh selama tiga bulan, atau selama tiga hari seluruh negeri ini diserang oleh TUHAN dengan pedang-Nya yang berupa wabak dan malaikat-Nya membawa maut ke serata tempat. Jawapan apakah yang harus hamba sampaikan kepada TUHAN?”